BAHRAIN: Oscar Piastri daripada McLaren mempamerkan pemanduan hebat untuk menguasai perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain untuk merapatkan jurang dengan rakan sepasukan Lando Norris bagi merebut kejuaraan dunia bagi pemandu.
Pelumba warga Australia itu kelihatan tenang mendahului perlumbaan dan mengekalkan jarak yang selesa daripada pesaingnya.
George Russell daripada Mercedes berjaya menepis saingan Norris yang cuba memintasnya di akhir-akhir perlumbaan untuk menduduki tempat kedua.
Norris, yang bermula dari petak keenam dan menerima penalti lima saat apabila roda depan keretanya terkeluar daripada petak permulaan, terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga.
Charles Leclerc daripada Ferrari pula menduduki tempat keempat, manakala rakan sepasukannya, Lewis Hamilton, di tempat kelima.
Max Verstappen daripada Red Bull hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam selepas memotong Pierre Gasly daripada Alpine pada pusingan terakhir, seminggu selepas kemenangannya cemerlang beliau di Jepun.
Keputusan itu — yang merupakan kali pertama McLaren menang dalam perlumbaan di Bahrain — meletakkan Norris hanya tiga mata di hadapan Piastri di tangga teratas kejuaraan.
Verstappen, yang tenggelam dan tidak kompetitif, kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu di tempat ketiga.
Piastri memang dijangka menang selepas memulakan perlumbaan di petak pertama, dan tidak pernah kelihatan terancam.
Di belakangnya, Norris naik dari tempat keenam di grid ke tempat ketiga pada pusingan pertama di belakang Piastri dan Russell, dengan Leclerc menduduki tempat keempat untuk Ferrari.
Walaupun hentian pit yang lebih panjang dikuatkuasakan, Norris berjaya mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga.
Ferrari memilih strategi tayar yang berbeza berbanding McLaren dan Mercedes, di mana mereka bermula dengan tayar jenis sederhana dan bukan tayar lembut seperti pesaing mereka.
Ia membolehkan Leclerc melakukan tujuh pusingan lebih lama sebelum hentian pertamanya, membenarkan Ferrari melepasi McLaren pada pusingan ke-25.
Tetapi kelebihan itu kembali kepada Norris apabila kereta keselamatan keluar pada pusingan ke-32, untuk membersihkan serpihan dari trek.
Hampir semua pemandu berhenti untuk menukar tayar, dengan Russell, Leclerc dan Norris keluar dengan tiga jenis tayar yang berbeza - Russell kepada tayar lembut, Leclerc kepada tayar keras dan Norris kepada tayar sederhana.
Mengulas perlumbaannya, Norris berkata: “Perlumbaan yang sukar. Saya melakukan terlalu banyak kesilapan. Perlumbaan yang tidak kemas daripada saya. Saya kecewa kerana gagal mencatat tempat pertama dan kedua untuk McLaren.” – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg