Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu Ferrari Hamilton, Leclerc disingkir daripada Grand Prix China

Kereta lumba mereka didapati langgar peraturan F1; McLaren tunjuk hebat untuk duduki tangga 1-2
Mar 24, 2025 | 3:03 PM
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, beraksi di Grand Prix Formula Satu China pada 23 Mac.
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, beraksi di Grand Prix Formula Satu China pada 23 Mac. - Foto REUTERS

SHANGHAI: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton, disingkirkan di Grand Prix Formula Satu China, selepas kereta mereka didapati melanggar peraturan pada perlumbaan pada 23 Mac.

Kedua-dua menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan keenam di Shanghai, tetapi kereta Leclerc didapati berada di bawah had berat yang ditetapkan.

Sementara itu, kereta Hamilton dilaporkan kepada penyelia perlumbaan kerana plat kelincir (skid plate) haus.

Pemandu Alpine, Pierre Gasly, yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-11, turut tersingkir selepas keretanya juga didapati di bawah berat minimum.

Leclerc kehilangan plat di bahagian hujung sayap depan keretanya akibat pelanggaran dengan Hamilton pada pusingan pertama, tetapi ia diganti sebelum proses penimbangan akhir.

Penyelia perlumbaan melaporkan bahawa berat kereta ialah 799 kilogram selepas minyak dikosongkan, sedangkan berat minimum yang ditetapkan ialah 800 kilogram.

Dimensi skid kelincir kereta Hamilton pula didapati kurang daripada had minimum sembilan milimeter.

“Semasa pemeriksaan, wakil pasukan mengesahkan ukuran itu adalah tepat dan semua prosedur yang diperlukan telah dilakukan dengan betul,” kata pegawai perlumbaan dalam satu kenyataan.

“Pasukan itu juga mengakui tiada langkah mitigasi dan kesilapan tersebut adalah kesilapan pasukan sendiri.”

Penyingkiran itu memberi manfaat kepada Haas, dengan Esteban Ocon melonjak ke tempat kelima dan pelumba muda, Oliver Bearman, ke tempat kelapan.

Pemandu Italy, Andrea Kimi Antonelli, bergerak ke tempat keenam untuk Mercedes, manakala Alex Albon dari Williams menduduki tempat ketujuh.

Penyingkiran Gasly bermakna Lance Stroll daripada Aston Martin mencapai tempat kesembilan manakala Carlos Sainz meraih mata terakhir untuk pasukan Williams walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

“Charles menggunakan strategi membuat satu hentian (sahaja) hari ini, menyebabkan tayarnya haus dengan ketara, sekali gus menjadikan keretanya berada di bawah berat minimum,” kata Ferrari dalam satu kenyataan.

“Berkenaan dengan plat kelincir haus pada kereta Lewis, kami tersilap mengira tahap penggunaan dengan perbezaan yang sedikit.

“Tiada niat untuk mendapatkan kelebihan. Kami akan belajar daripada kesilapan ini dan memastikan perkara yang sama tidak berulang.”

Perlumbaan Grand Prix China dikuasai pasukan McLaren dengan Oscar Piastri dan Lando Norris menamatkan perlumbaan di dua kedudukan teratas. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg