Mediacorp akan siarkan 28 perlawanan Piala Dunia Fifa secara percuma
Mediacorp akan siarkan 28 perlawanan Piala Dunia Fifa secara percuma
Saluran umum peroleh hak siaran acara dari 11 Jun hingga 19 Julai itu, serta kejohanan Fifa yang lain
Peminat bola sepak di Singapura akan dapat menyaksikan lebih banyak perlawanan yang disiar secara percuma semasa Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2026.
Ini selepas Mediacorp mengumumkan pada 5 Februari bahawa ia telah memperoleh hak siaran acara dari 11 Jun hingga 19 Julai itu dan juga kejohanan Fifa yang lain dari 2026 hingga 2028.
Di bawah perjanjian itu, Mediacorp akan menayangkan semua 104 perlawanan dan upacara rasmi Piala Dunia 2026, semua 64 perlawanan dan upacara Piala Dunia Wanita Fifa 2027, dan acara lain seperti Piala Dunia Bawah-17 Tahun dan Bawah-20 Tahun, serta Piala Dunia Wanita Bawah-17 Tahun dan Bawah-20 Tahun.
Dalam kenyataannya, Mediacorp berkata bahawa ia akan “memperluas liputan percuma perlawanan dengan banyaknya di mewatch dan Saluran 5”, dan peluasan itu akan menyaksikan bilangan perlawanan siaran percuma meningkat daripada sembilan pada 2022 kepada 28 pada 2026.
“Ini akan merangkumi perlawanan pembukaan, 23 perlawanan peringkat kumpulan, dua separuh akhir, perlawanan penentu bagi tempat ketiga serta perlawanan akhir.
Piala Dunia 2026 akan menyaksikan rekod 48 pasukan bertanding merentasi tiga negara, Canada, Mexico dan Amerika Syarikat, dengan jumlah perlawanan meningkat daripada 64 pada edisi terakhir di Qatar kepada 104 kali ini.
Butiran lanjut tentang rakan kongsi silang penyiaran, pelan langganan dan harga akan diumumkan kemudian, ujar Mediacorp.
Argentina merupakan juara bertahan setelah menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022.
Penonton juga boleh terus menonton detik-detik terhebat perlawanan bola sepak melalui Fifa+, saluran percuma di mewatch.
Menampilkan program 24 jam sehari, saluran itu mempamerkan perlawanan klasik secara penuh, koleksi babak-babak menarik dan kompilasi “terbaik”, serta pilihan tajuk dan dokumentari Fifa+.
“Bola sepak mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan masyarakat, memberi inspirasi kepada individu, dan Mediacorp berbangga menjadi ‘rumah’ bagi Fifa dari 2026 hingga 2028,” kata ketua pegawai pelanggan syarikat itu, Angeline Poh.
“Daripada wisel pembukaan hinggalah kepada piala terakhir, kami berharap dapat membawa setiap detik kejohanan yang penting kepada peminat di seluruh Singapura, memupuk pengalaman bersama dan mencipta kenangan abadi untuk anda dan keluarga,” tambahnya.

