Sejak kecil Mishael Daniel Wee tertarik kepada dunia kuda, bermula sejak mula menonton rancangan animasi kegemarannya, My Little Pony.
Minat itu akhirnya berkembang dan beliau merayu kepada ibunya untuk menunggang kuda sendiri.
Sejak detik itu, dunia tunggang kuda menjadi sebahagian penting dalam kehidupannya.
“Saya rasa terpesona dengan bagaimana kuda dalam rancangan itu mempunyai sikap berani dan setia.
“Saya mahu merasakannya dalam dunia sebenar,” kata atlet berusia 16 tahun itu.
Kini Mishael bukan sekadar memikul bersama harapan negara dalam sukan tunggang kuda, bahkan beliau sedang melalui fasa penting dalam pelajarannya iaitu menduduki Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Sebagai seorang remaja yang masih bersekolah tetapi perlu berlatih secara serius, beliau mengamalkan disiplin tinggi serta mengurus masa dengan cermat.
Ada kalanya, jadual latihannya yang padat dan perlu melakukan perjalanan ke Thailand menjejas persiapan akademiknya.
Jadual padat inilah yang merisaukan ibu Mishael, Noor Suhailah Ab Halim, tentang persiapan peperiksaan anaknya.
“Mereka gembira, tetapi sudah tentu sebagai ibu bapa, mereka rasa tertekan juga,” kata Mishael, pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS).
“Saya tahu mereka risau, tetapi lama-kelamaan saya meyakinkan mereka bahawa saya baik-baik sahaja.”
Berkata kepada Berita Minggu (BM), Noor Suhailah berkongsi walaupun rasa risau, beliau meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada anaknya.
Namun cabaran Mishael bukan sahaja dari segi masa dan tenaga, bahkan juga kesihatan kerana beliau mempunyai alahan kepada kuda.
Untuk memastikan dapat menunggang dengan selesa, Mishael akan mengambil ubat antialahan setiap kali sebelum latihan dan pertandingan.
Selain latihan di Singapura, Mishael dan pasukannya perlu ke Thailand bagi latihan intensif selama seminggu setiap bulan, bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA.
“Perjalanan ke Thailand setiap bulan memang memenatkan, tapi pengalaman itu sangat berharga,” katanya.
“Kami belajar teknik baru, bertemu dengan penunggang dari negara lain dan menyesuaikan diri dengan kuda kami Fil De Lo’AA (nama kuda Mishael) dan B.Grimm Vanda Du Plessis (nama kuda rakan sepasukannya, Tara Nur Ibrahim).
Pengalaman ini juga membantunya menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan antarabangsa, serta membina keyakinan apabila berada jauh dari rumah.
Setiap sesi latihan bukan sekadar belajar bergerak dari satu halangan ke halangan lain.
“Saya perlu memahami kuda saya, baca isyarat tubuhnya dan jaga keselesaan serta keselamatannya,” terangnya.
“Kadangkala ia lebih mencabar daripada apa yang saya jangka, tetapi itu yang membuatkan saya terus bersemangat.”
Bagi Mishael, hubungan antara penunggang dengan kuda adalah unik kerana ia memerlukan empati, kesabaran dan komunikasi.
Hari Mishael dipenuhi dengan rutin yang padat.
Sebelum bersiap untuk latihan yang berlangsung selama beberapa jam, Mishael akan memastikan pelajaran dan ulang kaji diselesaikan.
Selepas latihan, beliau akan sekali lagi mengulangkaji atau menyiapkan kerja sekolah.
“Kadang-kadang rasa penat juga, tapi apabila fikir balik, ini peluang yang tidak datang selalu,” katanya sambil tersenyum.
Salah satu kenangan paling berharga adalah kali pertama menunggang kuda sendiri.
“Saya ingat lagi perasaan gementar campur seronok ketika itu.
“Hati saya berdebar, tapi apabila saya mula menunggang, ada rasa kebebasan yang sukar digambarkan.
“Sejak itu, saya tahu saya mahu terus belajar dan maju dalam sukan ini,” kongsinya.
Pengalaman itu menanamkan rasa cinta dan komitmen mendalam terhadap dunia ekuestrian, membuatkannya kembali ke kadang kuda setiap kali ada peluang.
Pada masa yang sama, Mishael sentiasa cuba meluangkan masa bersama kawan, walaupun tidak mudah untuk beliau.
“Kadang-kadang saya terpaksa menolak pelawaan kawan untuk keluar kerana perlu ulang kaji atau ke latihan.
“Tapi saya rasa orang yang faham akan menghargai usaha saya,” katanya.
Bagi Mishael, setiap pengorbanan adalah sebahagian perjalanan menuju matlamat lebih besar.
Ini kerana Sukan SEA 2025 menjadi fokus terbesarnya pada masa ini.
Beliau berkongsi walaupun pasukannya muda, mereka akan berjuang untuk membanggakan Singapura dengan untuk mendapatkan pingat.
“Rasanya macam mimpi... 2025 merupakan kali pertama kami sertai acara ini, sedangkan pesaing lain sudah lama bertanding, ada yang lebih 10 tahun,” ujarnya.
“Memang cabarannya besar, tapi kami bersedia untuk menghadapinya.”
“
Rasanya macam mimpi... 2025 merupakan kali pertama kami sertai acara ini, sedangkan pesaing lain sudah lama bertanding, ada yang lebih 10 tahun. Memang cabarannya besar, tapi kami bersedia untuk menghadapinya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg