MANCHESTER: Bekas pemain Manchester City, Benjamin Mendy, berkata rakan sepasukannya ketika itu, Raheem Sterling, Bernardo Silva dan Riyad Mahrez, meminjamkannya wang apabila City berhenti membayarnya selepas dia dikenakan dakwaan rogol dan serangan seks.
Mendy menuntut 11.5 juta pound ($19.7 juta) bagi gaji yang tidak dibayar sejak beliau didakwa pada Ogos 2021 dan digantung tanpa gaji oleh City.
Pemain berusia 30 tahun itu dibebaskan pada 2023 daripada beberapa pertuduhan rogol dan percubaan merogol.
Kelab itu masih membayar Mendy selepas kali pertama beliau ditangkap pada November 2020, tetapi menyatakan mereka tidak perlu berbuat demikian selepas Mendy didakwa.
Ini kerana syarat ikat jaminnya yang melarang beliau menghampiri stadium atau tempat latihan kelab dan penggantungan Persatuan Bola Sepak bermakna beliau tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam kontraknya.
Dokumen mahkamah menyatakan Mendy “sangat cepat kehabisan wang” dan terpaksa menjual rumahnya di Cheshire untuk menampung bayaran guaman, bil dan nafkah anak selepas gajinya ditahan.
“Raheem Sterling, Bernardo Silva dan Riyad Mahrez semuanya meminjamkan wang kepada saya untuk membantu saya membayar bayaran guaman dan menyara keluarga saya,” kata Mendy dalam kenyataan saksinya.
Pada November 2022, Mendy menghantar mesej Whatsapp kepada Omar Berrada, Ketua Pegawai Operasi Bola Sepak City dari September 2020 hingga Julai 2024, untuk bertanya bila beliau akan menerima gaji tertunggak, tetapi tidak menerima jawapan.
Ejen Mendy, Meissa N’Diaye, yang turut memberi keterangan, berkata pada 20 September 2021 beliau bercakap bersama Berrada dan diberitahu “sebaik sahaja perbicaraan selesai, Benjamin akan dibayar balik semua gaji”.
Berrada, yang kini ketua eksekutif Manchester United, menafikan memberi jaminan itu apabila ditanya mengenainya semasa perbicaraan itu, lapor BBC Sports.
Perbicaraan itu juga menyatakan sebanyak 15 kali Mendy mengadakan atau menghadiri parti yang melanggar syarat Covid-19 atau ikat jamin, atau kedua-duanya.
Dalam kenyataannya, Mendy berkata: “Saya percaya adalah adil dan wajar saya dibayar gaji yang saya sepatutnya dibayar jika saya tidak ditangkap secara salah atas alasan jenayah yang saya tidak lakukan.”
Mendy menyertai City dari Monaco di bawah perjanjian 52 juta pound ($89 juta) pada 2017 dan memenangi gelaran Liga Perdana pada 2018, 2019 dan 2021.
Penampilan terakhirnya untuk kelab itu adalah dalam Liga Perdana pada 15 Ogos 2021.
Mendy meninggalkan City apabila kontraknya tamat pada Jun 2023 dan kini bermain untuk pasukan Perancis, Lorient.
Mendy direman dalam tahanan selama lima bulan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada Januari 2022. Kes itu dibicarakan buat kali pertama pada Ogos 2022.
Pada Januari 2023 dia dibebaskan daripada enam pertuduhan rogol dan satu pertuduhan serangan seks.
Dia kemudiannya dibebaskan daripada dakwaan merogol seorang wanita dan cuba merogol seorang lagi pada Julai 2023 pada perbicaraan semula.
Perbicaraan tribunal tuntutan gajinya dijangka berlangsung dua hari. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg