Mudah untuk memahami mengapa Arsenal kini dianggap sebagai pilihan utama ramai untuk menjuarai Liga Perdana England (EPL) musim ini.
Jika dibandingkan keputusan mereka menentang Newcastle, West Ham, Fulham dan Crystal Palace musim ini dengan musim lalu, perbezaannya amat ketara.
Musim ini, Arsenal menewaskan kesemua pasukan tersebut, sedangkan musim lalu mereka kehilangan 10 mata daripada perlawanan yang sama, sesuatu yang akhirnya menjejas peluang mereka dalam perebutan kejuaraan.
Ketika itu, mereka hanya seri dengan Fulham dan Palace, serta tewas kepada Newcastle dan West Ham.
Keputusan-keputusan itu menyebabkan Arsenal menamatkan saingan di tempat kedua buat musim ketiga berturut-turut, kali ini dengan jarak 10 mata di belakang juara, Liverpool.
Apa yang lebih mengagumkan ialah Arsenal berjaya mengekalkan rentak cemerlang tersebut walaupun sudah menentang Manchester United, Liverpool dan Newcastle di tempat lawan, serta Manchester City di tempat sendiri.
Namun mereka tetap ada kelebihan empat mata di tangga teratas EPL liga, mengatasi Bournemouth.
Sementara Arsenal terus meraih kemenangan, pesaing-pesaing mereka tidak menunjukkan prestasi yang sama.
Malah, buat pertama kali sejak 1992, City, United, Liverpool dan Chelsea tidak berada dalam kelompok empat teratas liga selepas sembilan perlawanan.
Bekas pertahanan City, Nedum Onuoha, berkata ramai masih salah faham tentang Arsenal.
“Orang kata mereka hanya bergantung pada sepakan percuma, tapi sebenarnya mereka antara pasukan yang paling banyak melakukan percubaan, paling sedikit dibolosi, dan paling kurang memberi peluang kepada lawan. Mereka memang layak berada di tangga teratas,” katanya.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, turut berdepan tekanan besar pada awal musim selepas berbelanja kira-kira 250 juta paun ($432 juta) untuk membawa masuk lapan pemain baru bagi memburu kejuaraan EPL pertama mereka sejak 2004.
Namun pelaburan itu ternyata berbaloi kerana Arsenal kini antara pasukan paling banyak menjaringkan gol dan memiliki pertahanan paling kukuh walaupun dilanda beberapa kecederaan utama.
Bekas penyerang Arsenal, Theo Walcott, berkata Arsenal kini sudah lengkap sebagai satu pasukan.
“Mereka menakutkan pasukan lawan, dan itu sesuatu yang hebat untuk dilihat. Kini sudah menjadi kebiasaan mereka untuk tidak dibolosi,” kata bekas pemain sayap itu.
“Tahun lalu (2024) mereka terlalu banyak seri, tetapi musim ini saya tidak nampak perkara itu akan berulang. Keyakinan dalam kelab kini sangat tinggi,” katanya.
Kekuatan utama Arsenal musim ini datang daripada organisasi pertahanan mereka.
Arteta sendiri mengakui kemenangan ke atas Crystal Palace pada 26 Oktober adalah yang paling bermakna musim ini, terutamanya apabila Liverpool, Chelsea dan City semuanya tewas pada minggu yang sama.
“Kami berada di kedudukan sekarang kerana kami konsisten, tapi itu bukan alasan untuk berpuas hati. Masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.
Secara statistik, Arsenal mempunyai dominasi di bahagian pertahanan dengan pasukan yang mempunyai paling banyak ‘clean sheet’ (tidak dibolosi) iaitu dalam enam perlawanan, melepaskan paling sedikit gol iaitu tiga, serta menghadapi paling sedikit percubaan berbahaya.
Bek tengah, Gabriel dan William Saliba, dianggap antara gandingan terbaik dalam liga, membantu pasukan mencatat enam ‘clean sheet’ dalam sembilan perlawanan pertama, lebih banyak daripada mana-mana pasukan lain.
Walaupun ada sedikit kebimbangan mengenai kecergasan Saliba, penggantinya yang lebih muda, Cristhian Mosquera, menunjukkan potensi besar setiap kali diturunkan.
Arsenal kini tidak bolosi dalam tiga perlawanan terakhir EPL, iaitu sepanjang 385 minit, dan hanya melepaskan tiga gol dalam 12 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg