Wanita Korea Utara telah memenangi Piala Dunia Wanita Bawah 20 (U-20) sekali lagi dan ini merupakan kemenangannya yang ketiga.
Mereka menyertai Jerman dan Amerika Syarikat sebagai juara tiga kali dalam kejohanan tersebut.
Pada 2024, mereka turut memenangi kejohanan Asia Wanita Bawah 17 (U-17) dan bawah 19 (U-19), dan pada Oktober, pasukan U-17, mereka meraih Piala Dunia ketiga.
Apakah yang menjadikan sebuah negara yan disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai, “tiada persamaan dengan dunia moden”, begitu hebat dalam bola sepak remaja?
“Sukan antarabangsa adalah salah satu cara untuk menunjukkan kedaulatan, kewujudan dan identiti mereka kepada masyarakat antarabangsa.
“Kemenangan besar seperti ini, daripada sudut pandangan mereka, adalah peluang untuk mengibarkan bendera negara di hadapan penonton dunia,” kata Pensyarah Kanan dalam Dasar Sukan dan Riadah di Universiti Edinburgh, Dr Jung Woo Lee, kepada DW News.
“Pada masa yang sama, di dalam negara, Korea Utara sering menggunakan sukan sebagai alat propaganda untuk memuji pemimpin mereka dan betapa hebat negara mereka,” tambahnya.
Bola sepak popular di negara itu, tetapi mereka sedar bahawa jurang untuk mencapai tahap tertinggi dalam bola sepak peringkat senior lebih sukar dicapai berbanding bola sepak remaja.
Oleh itu, pemimpin Korea Utara beralih kepada bola sepak wanita remaja agar lebih mudah mencapai kejayaan.
Itulah juga sebabnya mengapa kejayaan di peringkat itu tidak memberi manfaat kepada pasukan senior.
Strategi ini adalah untuk meraih kemenangan.
Pada 2024, di Colombia, wanita U-20 Korea Utara mengalahkan Argentina 6-2 dan Costa Rica 9-0, serta meraih tiga kemenangan 1-0 berturut-turut, termasuk menewaskan Amerika, dari suku akhir hingga menjuarai Piala Dunia.
Dalam Piala Dunia U-17 pula, mereka juga menang 1-0 di suku akhir dan separuh akhir (termasuk menewaskan Amerika), sebelum mengalahkan Sepanyol melalui sepakan penalti dalam perlawanan final.
Dengan bantuan Sekolah Bola Sepak Antarabangsa Pyongyang, wanita muda dipilih, dibangunkan dan dididik mengikut pendekatan yang sangat berdisiplin dan saintifik.
Peluang itulah yang dimanfaatkan oleh Korea Utara.
Di mata Korea Utara, ini juga merupakan kemenangan bagi rejim komunis.
“Anda perlu ingat bahawa Korea Utara masih mengekalkan rejim sosialis dan komunis yang sangat kuat,” kata Dr Lee.
“Terutama di bawah Kim Jong Un, mereka cuba membandingkan rejim kapitalis dan komunis serta menunjukkan rejim komunis sebagai lebih unggul berbanding kapitalis.”
“Selain itu, apabila saya melihat beberapa laporan berita tentang prestasi Korea Utara dalam media Korea Utara, mereka menekankan bahawa kerana mereka berada di bawah rejim komunis, mereka akan melakukan apa sahaja yang mampu, walaupun mereka keletihan fizikal,” tambah Dr Lee.
Unsur psikologi itu nampaknya memberikan kelebihan kepada pasukan tersebut.
Namun, di sebalik semangat patriotisme yang kuat dan disiplin kerja selama bertahun-tahun, terdapat motivasi ganjaran yang boleh mengubah kehidupan.
“Walaupun kita sering melihat Korea Utara sebagai negara yang kurang maju, dengan banyaknya pertanian serta mereka yang hidup dalam kesusahan, nasib mereka yang tinggal di Pyongyang agak berbeza. Golongan ini agak istimewa,” jelas Dr Lee.
Sebagai insentif, katanya, rejim itu boleh memberi pemain yang tinggal di luar ibu negara sijil kediaman, yang diperlukan untuk memasuki Pyongyang.
Pada masa yang sama, ramai pemain telah diberikan rumah.
Motivasi itu tidak boleh dipandang remeh.
Kehidupan di luar bandar Korea Utara adalah sukar, dengan kurangnya makanan serta penjagaan kesihatan, namun kehidupan di bandar besar agak berbeza.
Bagi Choe Il-son – yang bermain dalam kedua-dua kejohanan U-17 dan U-20 serta mempunyai prestasi cemerlang dalam kejohanan sebelumnya – reaksi biasa adalah untuk tertanya-tanya pasukan liga wanita manakah akan cuba mendapatkan khidmatnya?
Namun, tidak harus dilupakan konteks tempat tinggal serta tempat beliau bermain.
“Pertama sekali, (terdapat) sekatan ekonomi yang kini dikenakan ke atas Korea Utara.
“Dan juga, setiap kali pemain Korea Utara menyertai liga Eropah – terdapat beberapa kejadian dalam sukan bola keranjang apabila gaji tidak dihantar ke akaun individu pemain atau ejen, tetapi ia dimasukkan ke dalam akaun pemerintah Korea Utara, jadi saya rasa itu adalah satu lagi kesukaran,” tambah Dr Lee.
Walaupun banyak perkara terkait tentang pasukan itu, seperti negara tersebut juga, pasukan di dalamnya masih menjadi misteri. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg