SPA-FRANCORCHAMPS (Belgium): Pelumba Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli adalah pilihan utama bagi musim depan, demikian kata ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, dalam satu ulasan yang seolah-olah menolak kemungkinan juara dunia empat kali Red Bull, Max Verstappen, akan menyertai pasukan itu dalam masa terdekat.
Verstappen kini berada pada kedudukan ketiga secara keseluruhan pada pertengahan kempen 24 perlumbaan.
Ketika ini, beliau ketinggalan 69 mata di belakang pendahulu keseluruhan perlumbaan daripada pasukan McLaren, Oscar Piastri; dan 61 mata di belakang rakan sepasukan Piastri dari Britain, Lando Norris.
Impian pemandu dari Belanda itu untuk merangkul gelaran kelima berturut-turut kini semakin pudar.
Dengan era baru yang bakal memperkenalkan enjin terkini bagi perlumbaan 2026, dengan jangkaan bahawa unit kuasa Mercedes akan menjadi pilihan utama, timbul desas-desus bahawa Verstappen mungkin memilih untuk berpindah pasukan.
Spekulasi tersebut semakin menarik perhatian ramai selepas Red Bull memecat ketua pasukannya yang sudah lama berkhidmat, Christian Horner, pada Julai.
Kini, Laurent Mekies bertanggungjawab bagi Grand Prix Belgium hujung minggu ini.
Kontrak Russell akan berakhir pada penghujung musim ini, walaupun beliau juga diuruskan oleh Mercedes.
Antonelli, 18 tahun, pula baru sahaja menyertai pasukan tersebut pada 2025 dan merupakan bakat besar untuk masa depan, lapor The Straits Times (ST).
“Pendekatan kami ialah untuk terus bersama George (Russell) dan Kimi (Antonelli). Itulah yang paling utama,” kata Wolff kepada stesen televisyen Austria, ORF, pada 23 Julai.
“Anda tidak boleh mengabaikan seseorang seperti Max (Verstappen) dan rancangan beliau untuk masa depan.
“Kami sudah mengambil kira perkara tersebut, tetapi saya rasa tidak akan ada sebarang kejutan besar,” tambahnya.
Menurut laporan ORF, walaupun Verstappen mempunyai klausa prestasi dalam kontraknya, beliau perlu berada pada kedudukan lebih rendah daripada tiga pelumba teratas selepas Grand Prix Britain di Silverstone bagi membolehkan kontraknya ditamatkan.
Media sosial menjadi hangat pada Julai selepas Wolff dan Verstappen dilaporkan bercuti pada masa sama dan di kawasan sama di Sardinia.
Namun, Wolff menafikan perkara tersebut mempunyai sebarang kepentingan khusus.
“Jika anda pergi bercuti berdekatan satu sama lain, ia tidak bermakna anda juga akan bekerjasama dalam Formula Satu.
“Kami sentiasa berbaik-baik. Kami juga bercuti di kawasan sama, dan itu hanyalah satu kebetulan,” katanya. – Reuters, AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg