VANCOUVER (Canada): Switzerland menewaskan Colombia 4-3 menerusi sepakan penalti selepas seri tanpa gol selama 120 minit pada 8 Julai (waktu Singapura), melangkah ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1954 dan menempah pertembungan dengan juara bertahan, Argentina.

Sepakan penalti itu beralih memihak kepada Switzerland apabila penjaga gol mereka, Gregor Kobel, menepis sepakan penalti Cucho Hernandez, selepas sepakan Davinson Sanchez sebelum ini menghentam palang gawang untuk Colombia.

Manuel Akanji turut tersasar bagi Switzerland apabila sepakannya melepasi atas palang. Namun Ruben Vargas tidak melakukan sebarang kesilapan dengan sepakan penentu, menghantar bola ke penjuru bawah gawang. 

“Sangat sukar bagi saya untuk menyedari apa yang telah kami capai hari ini,” kata Vargas.

“Saya bersyukur dengan detik ini. Ia adalah perlawanan luar biasa bagi saya. Selama 120 minit, kami memberikan segala-galanya di padang.

“Kami berdepan lawan yang kuat, tetapi kini kami telah mencipta sejarah... Sungguh luar biasa saya dapat menjaringkan sepakan penalti penentu itu.”

Ia merupakan detik menyayat hati bagi Colombia, yang cuba melangkah ke suku akhir buat hanya kali kedua dalam sejarah mereka, setelah pernah berjaya berbuat demikian pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Peluang terbaik separuh masa pertama tiba pada minit ke-21 apabila pemain tengah Colombia, Gustavo Puerta, melepaskan sepakan ke arah penjuru jauh dari jarak jauh, memaksa Kobel melompat ke arah kirinya untuk menyelamatkan gawang. 

Switzerland membalas beberapa ketika kemudian, tetapi penjaga gol Colombia, Camilo Vargas, pula dapat menahan percubaan Fabian Rieder dari sudut yang sempit.

Pemain sayap Switzerland, Dan Ndoye, hampir mendapat gol kemenangan pada minit ke-91. Beliau membuat larian bijak sebelum melepaskan sepakan rendah merentasi gawang, tetapi bola tersasar sedikit di sisi tiang jauh. 

Pada masa tambahan, pemain pertahanan tengah Colombia, Jhon Lucumi, hampir memecah kebuntuan.

Beliau melompat untuk menyambut sepakan penjuru, tetapi tandukannya hanya menghentam palang gawang. Percubaan itu mencetuskan tempoh permainan yang rancak apabila kedua-dua pasukan menyerang mencari gol kemenangan. 

Colombia memasuki perlawanan di Vancouver – bandar tuan rumah terakhir Canada dalam kejohanan ini – memiliki salah satu pertahanan paling kuat dalam kejohanan ini, setelah hanya bolos sekali dalam perlawanan sebelum ini.

Switzerland pula menerima kejutan besar sebelum perlawanan bermula apabila penyerang berusia 20 tahun, Johan Manzambi – bintang muda kejohanan itu dengan tiga gol dan dua bantuan gol – disahkan tidak dapat bermain selepas mengalami lebam lutut semasa latihan.

Menyertai Piala Dunia keenam berturut-turut, Switzerland telah menjadi contoh kestabilan dalam pusingan kelayakan, namun kemajuan ke pusingan 16 terakhir masih sukar dicapai dalam edisi kebelakangan ini.

Mereka tersingkir pada peringkat itu pada 2006, 2014, 2018 dan 2022, tetapi akhirnya berjaya mengatasi cabaran tersebut walaupun tanpa beberapa pemain penting, untuk melangkah ke suku akhir Piala Dunia keempat dalam sejarah mereka.

Keputusan itu turut menghapuskan sedikit kekecewaan Euro 2024, ketika Switzerland tewas 5-3 menerusi sepakan penalti menentang England di suku akhir.

Ia adalah detik kegembiraan tulen selepas Vargas menjaringkan sepakan penalti kemenangan. Seluruh skuad Switzerland berlari pantas menghampirinya ketika sambutan meletus di Vancouver. – Reuters.