BUENOS AIRES: Pasukan bola sepak Argentina mengumumkan skuad baru yang akan dipimpin Lionel Messi pada 18 Ogos, bagi perlawanan pusingan kelayakan Amerika Selatan dalam Piala Dunia 2026.
Skuad itu, yang merangkumi 31 pemain, akan menentang Venezeuala dan Ecuador lapor Reuters pada 19 Ogos.
Bersama kapten Messi, skuad tersebut menampilkan beberapa pemain muda.
Ini termasuk penyerang kelab England Manchester City, Claudio Echeverri; pemain tengah kelab Portugal Porto, Alan Varela; dan pemain baru di kelab Sepanyol Real Madrid, Franco Mastantuono.
Jurulatih Lionel Scaloni turut merekrut penyerang Jose Manuel Lopez daripada kelab Brazil Palmeiras buat julung-julung kali.
Argentina akan menentang Venezuela di Stadium Monumental di Buenos Aires pada 4 September.
Mereka seterusnya dijadual bertandang ke Guayaquil untuk menentang Ecuador pada 10 September.
Pasukan Argentina, yang digelar Albiceleste, sudah menjamin kelayakan mereka dalam Piala Dunia 2026, yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.
Setakat ini, Argentina sudah mengumpul 35 mata –10 mata lebih daripada Ecuador di tangga kedua; dan Brazil ketiga – dalam kelayakan Amerika Selatan dalam Piala Dunia 2026.
Argentina akan ke Piala Dunia 2026 sebagai juara bertahan, setelah menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar. Negara itu telah memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali termasuk pada 1978 dan 1986.
Mereka juga merupakan juara Copa America 2024.
Senarai skuad Argentina
Penjaga gawang: Emiliano Martinez, Walter Benitez dan Geronimo Rulli
Pemain pertahanan: Cristian Romero, Nicolas Otamendi, Nahuel Molina, Gonzalo Montiel, Leonardo Balerdi, Juan Foyth, Nicolas Tagliafico, Marcos Acuna, Julio Soler dan Facundo Medina
Pemain tengah: Alexis Mac Allister, Exequiel Palacios, Alan Varela, Leandro Paredes, Thiago Almada, Nicolas Paz, Rodrigo De Paul, Giovani Lo Celso, dan Valentin Carboni
Penyerang: Claudio Echeverri, Franco Mastantuono, Giuliano Simeone, Angel Correa, Julián Alvarez, Nicolas Gonzalez, Lionel Messi, Lautaro Martinez dan Jose Manuel Lopez. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg