Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mexico janji sambutan mesra bagi peminat Piala Dunia 2026

Ia akan dianjurkan secara bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Canada
Jun 12, 2025 | 2:09 PM
Mexico City, Piala Dunia 2026, bola sepak
Mexico City menyalakan cahaya hijau di kawasan bandar demi menandakan setahun lagi sebelum dunia bersatu di Mexico City untuk Piala Dunia 2026. - Foto AFP

MEXICO CITY: Mexico City akan membuka pintunya kepada peminat dari seluruh dunia dan pelbagai budaya sempena Piala Dunia 2026, kata Datuk Bandar, Clara Brugada pada 11 Jun semasa memperkenalkan jam kira detik menandakan setahun lagi sebelum Piala Dunia diadakan di Mexico.

Ketika bandar raya itu bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia buat kali ketiga, Brugada menekankan kepentingan keterangkuman dan sikap terbuka – satu mesej berbeza berbanding langkah antiimigresen di negara tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, di bawah Presiden Donald Trump.

“Semua peminat bola sepak dialu-alukan di sini. Di bandar ini, tiada siapa yang dianggap orang asing,” kata Brugada di acara Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu.

“Kami dengan sukacitanya menyambut mereka yang datang dari seluruh pelosok dunia, bersama muzik, budaya, bahasa dan semangat mereka. Kami percaya kepelbagaian adalah harta paling berharga.

“Hari ini adalah hari yang sangat istimewa untuk Mexico City.

“Kami kini hanya tinggal 365 hari lagi sebelum membuka pintu kepada dunia dan menjadi tuan rumah pembukaan Piala Dunia buat kali ketiga, satu pencapaian yang belum pernah diraih oleh mana-mana bandar lain di dunia.”

Mexico pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 1970 dan 1986.

Menjawab kebimbangan penduduk berhampiran Stadium Azteca, Datuk Bandar Brugada memberi jaminan bahawa mereka akan menerima manfaat daripada pelaburan lebih 6 bilion peso ($406 juta) untuk memperbaiki perkhidmatan awam dan infrastruktur mereka.

“Kami akan memperkukuh hak penduduk dengan bekalan air lebih baik, ruang awam lebih selesa dan lebih banyak kemudahan,” ujarnya.

“Kami sedang membina satu legasi yang kami sangat banggakan. Oleh itu, kami telah membuat pelaburan bersejarah dalam kerja-kerja pembaikan, infrastruktur, bekalan air, keselamatan dan mobiliti.”

Sebagai sebahagian daripada sambutan menjelang Piala Dunia 2026, lebih 40 bangunan dan mercu tanda di Mexico City disinari dengan cahaya hijau pada malam 11 Jun (masa Mexico).

Namun, Mexico tidak ingin dilihat sebagai tuan rumah Piala Dunia yang hebat sahaja, malah sebagai pesaing yang hebat.

Selepas gagal mara melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia Qatar 2022 — pencapaian terburuk mereka sejak tahun 1978 — para penyokong Mexico tidak lagi sekadar mengharapkan kejohanan yang teratur.

Mereka mahu melihat pasukan Mexico memecahkan ‘badi perlawanan kelima’ dan layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 1986. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg