Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan Messi belum pasti bagi kelayakan Piala Dunia

Jun 5, 2025 | 3:26 PM
Lionel Messi, Argentina, Piala Dunia, World Cup
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni (kiri), bercakap dengan kapten pasukan Argentina, Lionel Messi, semasa sesi latihan pada 3 Jun. - Foto AFP

BUENOS AIRES: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, berkata pada 4 Jun bahawa beliau masih belum membuat keputusan sama ada kapten pasukannya, Lionel Messi, akan bermain dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia seterusnya menentang Chile.

Beliau kini terus memantau tahap kecergasan pemain berusia 37 tahun itu.

Dengan tempat ke Piala Dunia 2026 sudah terjamin, Argentina – yang mendahului carta kelayakan Amerika Selatan – akan bertanding untuk menentang Chile yang berada di tangga tercorot, dalam perlawanan pada 5 Jun, tanpa beberapa pemain utama dan dengan peranan Messi masih belum dipastikan.

“Kami ada berhubung dengan Messi baru-baru ini.

“Kami belum putuskan sama ada beliau akan bermain dari awal atau tidak. Lebih baik jika kami tahu dahulu tahap kecergasan fizikalnya,” kata Scaloni kepada wartawan.

“Jelas sekali dalam keadaan sekarang, kami berada dalam kedudukan untuk mencuba pendekatan lain.

“Secara prinsipnya, beliau bersedia untuk bermain, dan kami akan membuat keputusan kemudian.”

Disebabkan beberapa pemain utama tidak dapat bermain kerana cedera atau digantung perlawanan, Scaloni, menyifatkan keadaan sekarang sebagai peluang mencuba bakat baru sebagai persiapan mempertahankan gelaran juara Piala Dunia pada musim panas 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada.

“Kami kehilangan ramai pemain utama. Jika pemain yang kami panggil berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk bermain, mereka akan diberi peluang,” katanya.

“Saya belum sahkan kesebelasan utama, namun kami akan memberi sedikit masa bermain kepada pemain yang jarang beraksi dan yang kami percaya sudah bersedia untuk bermain.”

“Walaupun keputusan perlawanan sentiasa penting, kami tidak fikir ia begitu penting hari ini.

“Kami mungkin akan cuba membantu para pemain ini menyesuaikan diri dan memberi mereka peluang untuk bermain bersama pasukan.”

Scaloni, 47 tahun, menegaskan bahawa mentaliti pasukan Argentina kekal tidak berubah, dan memberikan persembahan terbaik tetap menjadi keutamaan.

“Kami mahu bermain, ini peluang baik untuk kami melihat pemain lain, termasuk mereka yang menunjukkan prestasi baik. Tiada perlawanan yang tidak kena pada masanya.

“Kami sebagai pasukan kebangsaan tidak bermain terlalu kerap, sehingga kami berkata kami tidak mahu bermain perlawanan ini.

“Sebaliknya, kami rasa ini satu perlawanan menarik dengan cabaran tersendiri. Kami berada dalam kedudukan yang baik,” ujar Scaloni. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg