MIAMI: Lionel Messi, yang masih memburu kejayaan di pentas antarabangsa hampir dua dekad selepas memulakan kerjayanya, berkata beliau berharap dapat beraksi di Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.
Namun bintang Argentina itu juga mengakui faktor usia dan tahap kecergasan akan menentukan peranannya dalam mempertahankan kejuaraan Argentina yang dimenangi pada 2022.
Messi baru-baru ini melanjutkan kontraknya bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Inter Miami, hingga 2028, yang menjadi petanda beliau masih belum memikirkan soal persaraan walaupun bakal mencecah usia 39 tahun pada Jun 2026.
Dalam satu wawancara, pemenang Ballon d’Or, sebanyak lapan kali itu berkata beliau akan mengambil masa hingga 2026 untuk menilai tahap fizikalnya sebelum membuat keputusan sama ada akan beraksi dalam Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika, Mexico dan Canada.
“Dapat beraksi dalam Piala Dunia adalah sesuatu yang luar biasa, dan saya memang mahu berada di sana,” kata kapten Argentina itu dalam wawancara yang disiarkan pada 27 Oktober.
“Saya ingin berada di sana dalam keadaan terbaik dan menjadi sebahagian penting dalam membantu pasukan, jika saya layak.”
“Perasaan itu sukar digambarkan kerana ini Piala Dunia.
“Kami baru sahaja menjuarai edisi yang lepas, dan peluang untuk pertahankannya di atas padang sememangnya menakjubkan.
“Sentiasa menjadi impian saya untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.”
Messi menikmati kerjaya profesional selama lebih 20 tahun, bermula dengan penampilan pertamanya di Barcelona pada usia 17 tahun pada 2004 sebelum berpindah ke Paris Saint-Germain dan akhirnya menyertai Inter Miami pada 2023.
Kehadirannya telah memberi lonjakan minat baru terhadap liga bola sepak Amerika pada masa yang penting menjelang penganjuran Piala Dunia akan datang.
Walaupun Messi telah meraih pelbagai kejayaan di peringkat kelab dan individu, kejayaan antarabangsanya hanya tiba selepas kemenangan dalam Copa America 2021, diikuti kejayaan menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Secara jujur, itu juga satu-satunya pencapaian yang belum saya capai di peringkat profesional kerana saya sudah beruntung meraih segalanya bersama Barcelona dan secara individu,” kata Messi mengenai kejayaan tersebut.
“Saya rasa itulah impian setiap pemain bola sepak apabila ditanya apakah impian mereka, jawapannya pasti untuk menjadi juara dunia.”
Setakat ini, Messi telah bermain dalam 195 perlawanan dan menjaringkan 114 gol untuk negaranya – kededuanya rekod tertinggi.
Jika beliau kembali untuk Piala Dunia 2026, ia akan menjadi penampilan keenamnya dalam kejohanan tersebut. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg