Peminat bola sepak tempatan berpeluang menyaksikan bintang bola sepak Lionel Messi beraksi menyusuli pengumuman bahawa pasukan Argentina akan mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura pada awal 2026.
Bank global HSBC dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) berkata dalam satu kenyataan bersama pada 26 Mac, juara Piala Dunia dan Copa America itu juga akan mengadakan perlawanan pertunjukan di India pada Oktober 2025, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Menurut bank tersebut, perlawanan sedemikian adalah sebahagian daripada kerjasama selama setahun antara AFA dengan HSBC.
HSBC berkata pelanggan dan rakan kongsi mereka boleh menebus ‘faedah eksklusif’, termasuk tiket, pengalaman peminat yang direka khas serta peluang bertemu dan beramah mesra.
“Kerjasama ini menghubungkan dunia perbankan dan sukan, menandakan kali pertama institusi perbankan bekerjasama dengan pasukan Argentina di Singapura dan India,” ujar mereka.
Presiden AFA Claudio Tapa teruja kerana HSBC menjadi penaja jelajah tersebut.
“Pengembangan antarabangsa AFA terus membuka jalan bagi syarikat terkemuka seperti HSBC untuk menyertai keluarga pasukan Argentina,” ujar beliau.
Kali terakhir pasukan Argentina beraksi di Singapura adalah pada 2017, ketika mereka menewaskan pasukan Singa 6-0.
Messi sepatutnya bermain dalam perlawanan persahabatan itu, tetapi meninggalkan pasukan bagi membuat persiapan perkahwinannya dengan isterinya, Antonela Roccuzzo.
Ketiadaan Messi mengecewakan beberapa peminat yang telah membeli tiket antara $40 dengan $188.
Peminat pasukan Argentina, Encik Omarali Suprat, 30 tahun berkata:
“Saya sanggup bayar harga tinggi untuk menyaksikan beliau bermain, walaupun hanya untuk 10 minit. Tidak selalu dapat peluang sebegini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg