Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prestasi Singa merangsangkan, tapi gagal temui jaringan

Mar 25, 2025 | 11:19 PM
Pemain pertahanan Singapura, Lionel Tan menjaringkan gol pada minit satu perlawanan, tetapi jaringan beliau dibatalkan kerana pemain Hong Kong didapati dikasari semasa jaringan tersebut.
Pemain pertahanan Singapura, Lionel Tan menjaringkan gol pada minit satu perlawanan, tetapi jaringan beliau dibatalkan kerana pemain Hong Kong didapati dikasari semasa jaringan tersebut. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walaupun tidak berjaya meraih keputusan yang diharapkan, prestasi skuad Singa menentang Hong Kong pada 25 Mac patut mendapat pujian kerana bermain dengan begitu bersemangat dalam kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027.

Dalam perlawanan yang amat sengit pada 25 Mac, pasukan Singa mampu mengawal perlawanan di padang sendiri namun masih tidak dapat menemui jaringan yang diinginkan.

Singapura mempamerkan gaya permainan agresif dengan serangan demi serangan dilancarkan ke arah kubu pertahanan Hong Kong di Stadium Negara.

Pasukan Singa memperoleh permulaan yang diidamkan apabila bola masuk ke gawang lawan kurang dua minit selepas perlawanan bermula, tetapi ia dibatalkan selepas pengadil mendapati pemain Hong Kong telah dikasari pemain tuan rumah semasa jaringan dibuat. 

Anak didik jurulatih Hong Kong, Ashley Westwood,  lincah dan tangkas mengatur serangan balas, namun pertahanan Singa kekal teguh. 

Pengalaman Hariss Harun di tengah padang memberi ketenangan kepada rakan-rakan sepasukannya, sedang gerakan licik Hami Syahin mengelirukan pertahanan Hong Kong. 

Hami bergabung baik dengan pemain sayap, Glenn Kweh untuk menghasilkan peluang bagi Shawal Anuar , tapi percubaannya pada minit ke-14 bagaimanapun sekadar melepasi palang gol.

Peluang terbaik skuad negara dalam separuh masa pertama terhasil melalui hantaran silang Harhys Stewart menemui Glenn, tetapi percubaan Glenn berjaya ditepis penjaga gawang Hong Kong, Yapp Hung Fai, sebelum bola melantun ke kaki Harhys Stewart yang cuba menampan masuk bola namun dihadang pertahanan Hong Kong.

Pasukan Singapura terus memburu gol pembukaan perlawanan, dan menerusi satu serangan serangan balas Glenn didapati terlalu lama mengawal bola – membenarkan pertahanan Hong Kong merampas bola dan mengatur semula strategi mereka. 

Pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin pula melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-35 namun percubaannya itu langsung ke dakapan Yapp Hung Fai.

Hong Kong tidak duduk diam dan cuba bangkit pada separuh masa kedua, menghasilkan beberapa peluang yang mengancam gawang Singapura.

Pada minit ke-48, bek kanan Hong Kong, Fernando Augusto Azevedo Pedreira berjaya melepasi Hariss dengan mudah dan mengumpan bola kepada Matt Orr. Namun percubaan Orr tidak temui sasaran.

Hong Kong masih mencuba untuk membolosi gawang Singapura, dan hampir melakukannya tetapi tandukan Matt Orr hanya terkena palang Singapura.

Namun, Singapura tidak goyang dan dalam satu serangan balas, umpanan Glenn menemui Shawal tetapi percubaan penyerang Singa itu dihalang oleh pertahanan Hong Kong.

Sementara itu, Kyoga yang bijak menggelecek pemain pertahanan lawan membuat rembatan namun percubaannya itu tidak menemui sasaran.

Hong Kong cuba membalas pada minit ke-70, apabila hantaran Everton Camargo berjaya disambut Yu Joy-Yin Jesse namun rembatan Jesse dihalang oleh Lionel Tan. 

Sorakan 8,064 peminat Singapura bergemuruh pada minit ke-77 apabila Shawal dengan tenang menewaskan penjaga gawang lawan dan menjaringkan gol. Malangnya jaringan itu dinafikan akibat ofsaid.

Perlawanan berakhir seri 0-0, dan pasukan Singa terpaksa menelan kekecewaan sekali lagi kerana tidak mendapat kemenangan yang diinginkan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan C, India dan Bangladesh juga gagal menjaringkan sebarang gol, dan mengakhiri perlawanan mereka dengan keputusan 0-0 di Stadium Jawaharlal Nehru, India.

Ini bermakna peluang keempat-empat pasukan untuk layak ke Piala Asia masih terbuka.

Perlawanan seterusnya bagi Singa adalah menentang Bangladesh pada 10 Jun, memberikan Ogura lebih masa untuk mempertajamkan barisan serangannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg