PARIS: Lionel Messi berkata pada Isnin beliau tidak memikirkan tentang masa depan jangka panjangnya kerana beliau ingin menghargai Ballon d’Or kelapan dalam kerjayanya.
Messi, 36 tahun, mengatasi Karim Benzema sebagai pemenang anugerah itu, yang dianugerahkan berdasarkan prestasinya musim lalu, apabila beliau memimpin pasukan kebangsaannya, Argentina, untuk memenangi Piala Dunia di Qatar.
“Anugerah terakhir yang saya menangi juga adalah hasil daripada apa yang kami capai bersama pasukan kebangsaan Argentina dalam Copa America (pada 2021), tetapi anugerah yang ini lebih istimewa kerana ia dicapai selepas kami memenangi Piala Dunia,” kata Messi kepada pihak media, selepas memenangi anugerahnya di sebuah majlis di Paris.
“Ini merupakan trofi yang semua orang sangat inginkan, dan impian menjadi kenyataan untuk saya, rakan sepasukan dan negara saya,” tambah beliau.
Beliau bersama Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar – lantas menambah kepada kerjayanya yang luar biasa dan ini membolehkannya mengatasi saingan sengit untuk Ballon d’Or daripada Kylian Mbappe dan Erling Haaland.
Haaland menduduki tempat kedua dalam undian, dengan Mbappe di tempat ketiga dan Kevin De Bruyne di tempat keempat.
Bekas bintang Barcelona, Messi, menjaringkan tujuh gol di Piala Dunia dan dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan itu selepas Argentina menewaskan Perancis melalui sepakan penalti dalam perlawanan peringkat akhir di Doha.
Namun, Messi, yang memenangi Ballon d’Or pertamanya pada 2009, juga melalui musim terakhir yang mengecewakan di Paris Saint- Germain, sebelum bermain untuk Inter Miami dalam Liga Amerika Syarikat, Major League Soccer.
Beliau mengetepikan cadangan bahawa beliau mungkin akan kembali untuk mendapatkan Ballon d’Or lagi, mungkin selepas Piala Dunia seterusnya pada 2026, di mana beliau akan mencapai usia 39 tahun.
“Saya tidak memikirkan tentang masa depan jangka panjang. Saya hanya menghargai hari demi hari pada masa ini,” katanya.
“Kami mempunyai Copa America yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, dengan prestasi saya sekarang, dan sebagai juara bertahan pertandingan itu, saya tidak sabar untuk menyertainya dalam keadaan yang baik,” tambah beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg