Topik diikuti
Pergi ke BHkuMexico, Korea S rebut peluang duduki tempat teratas Kumpulan A
Mexico, Korea S rebut peluang duduki tempat teratas Kumpulan A
Mexico punya kelebihan beraksi di padang sendiri, namun Korea S bukti mampu sesuaikan diri selepas menang perlawanan pertama di Guadalajara
Mexico, Korea S rebut peluang duduki tempat teratas Kumpulan A
Dua pasukan yang memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bakal berentap dalam perlawanan yang mungkin menentukan siapa muncul juara Kumpulan A.
Mexico dan Korea Selatan masing-masing mengutip tiga mata pada perlawanan pertama mereka, menjadikan pertemuan di Stadium Guadalajara pada 19 Jun nanti antara perlawanan paling penting dalam pusingan awal kejohanan.
Mexico memulakan kempen mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan, manakala Korea Selatan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1.
Keputusan itu meletakkan kedua-dua pasukan di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati, dengan kededuanya bertekad membuktikan kemenangan pertama mereka tidak hadir secara nasib sahaja.
Bagi Mexico, peluang beraksi di tanah air sendiri memberi mereka kelebihan yang sukar ditandingi mana-mana pasukan lain dalam kumpulan ini.
Sebagai salah satu tuan rumah kejohanan, Mexico bukan sahaja bermain di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, bahkan menikmati suasana yang sentiasa menjadikan lawan berasa tidak selesa.
Kemenangan ke atas Afrika Selatan turut meningkatkan keyakinan skuad kendalian Javier Aguirre yang mahu memastikan mereka tidak mengulangi kekecewaan Piala Dunia 2022, apabila gagal melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad.
Kapten pasukan, Edson Alvarez, pula terus menjadi nadi utama pasukan, manakala Raul Jimenez dan Santiago Gimenez menawarkan ancaman yang mampu memecahkan pertahanan lawan pada bila-bila masa.
Namun, Mexico berdepan sedikit cabaran selepas pemain pertahanan Cesar Montes digantung perlawanan susulan kad merah ketika perlawanan pembukaan.
Aguirre dijangka melakukan rombakan kecil bagi memastikan benteng mereka kekal kukuh.
“Edson (Alvarez) berkemungkinan besar beraksi sebagai pemain pertahanan susulan layangan kad merah Cesar.
“Kami sudah mempersiapkannya untuk berdepan situasi ini dan beliau kini bersedia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan penuhnya ketika ini adalah untuk menumbangkan Korea Selatan.
“Kami tidak terlalu taasub untuk muncul sebagai juara kumpulan. Buat masa ini, tumpuan kami hanyalah terhadap perlawanan menentang Korea Selatan,” tambahnya.
Korea Selatan pula hadir dengan keyakinan yang tidak kurang hebatnya.
Kemenangan ke atas Republik Czech bukan sahaja memberikan tiga mata penting, malah membuktikan kemampuan mereka bangkit ketika berada di bawah tekanan.
Selepas ketinggalan pada separuh masa kedua, Korea Selatan mempamerkan perwatakan hebat untuk bangkit semula menerusi jaringan Hwang In-beom dan Oh Hyeon-gyu.
Prestasi itu mengukuhkan reputasi Korea Selatan sebagai antara wakil Asia yang paling konsisten di pentas Piala Dunia.
Walaupun Son Heung-min kekal pemain paling terkenal dalam skuad, kekuatan sebenar Korea Selatan terletak pada disiplin taktikal dan kemampuan mereka berfungsi sebagai satu unit yang tersusun.
Lee Kang-in pula dijangka menjadi pemain yang boleh menjadi perbezaan.
Kreativiti dan visi pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu sering menjadi kunci kepada gerakan menyerang Korea Selatan, terutama ketika berdepan pasukan yang gemar menguasai bola.
Selain itu, Hwang In-beom terus membuktikan kepentingannya selepas aksi cemerlang ketika menentang Republik Czech.
Keupayaannya mengawal tempo permainan boleh menjadi faktor penting dalam menentukan penguasaan bahagian tengah padang.
Menariknya, perlawanan ini turut menghidupkan kembali hubungan unik antara penyokong kedua-dua negara.
Ramai peminat Mexico masih ingat bagaimana Korea Selatan membantu mereka mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 apabila menewaskan Jerman dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Hubungan itu mewujudkan rasa hormat berterusan antara kedua-dua kelompok penyokong.
Namun dalam kumpulan yang sangat sengit, yang mana setiap mata perlu dipertaruhkan, tiada penyokong yang sanggup melihat pasukan mereka kalah.
Mexico mungkin memiliki sedikit kelebihan kerana faktor tuan rumah.
Namun, Korea Selatan sudah membuktikan bahawa mereka mampu menyesuaikan diri dengan suasana di Mexico selepas memenangi perlawanan pertama mereka di Guadalajara.
Tetapi kejadian melibatkan pihak media yang didakwa mengutuk penyertaan Son dalam perkhidmatan ketenteraan mampu menjejas fokus dan persiapan pasukan menjelang perlawanan ini.
Sekiranya Korea Selatan berjaya mengekang sorakan penyokong tuan rumah, mengetepikan gangguan di luar padang dan memaksa Mexico bermain mengikut rentak mereka, peluang untuk mencuri kemenangan terbuka luas untuk kededua pasukan.
Apa yang pasti, perlawanan ini berpotensi menjadi penentu awal siapa yang akan menguasai Kumpulan A.
Ramalan wartawan: Mexico 2-1 Korea Selatan
