Topik diikuti
Pergi ke BHkuMilo, Nestle jalin kerjasama dengan NBA demi pembangunan sukan bola keranjang belia global
Milo, Nestle jalin kerjasama dengan NBA demi pembangunan sukan bola keranjang belia global
Milo, Nestle jalin kerjasama dengan NBA demi pembangunan sukan bola keranjang belia global
Milo dan jenama Nestle yang lain bakal menjadi rakan kongsi rasmi Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) menerusi satu kerjasama pemasaran antarabangsa berbilang tahun yang dijadualkan bermula pada 1 Januari 2027.
Merangkumi 21 pasaran di empat benua, perjanjian ini menandakan kerjasama jenama antarabangsa terbesar Nestle setakat ini, dengan fokus untuk memacu penglibatan peminat serta mempromosikan penyertaan belia dalam sukan bola keranjang.
Di Singapura, kerjasama ini memperkukuh komitmen Milo selama tujuh dekad terhadap pembangunan sukan dan pemerkasaan belia menerusi pelbagai inisiatif sukannya.
Menerusi kerjasama dengan NBA, Milo berharap dapat membawa semangat bola keranjang lebih dekat kepada golongan muda di Singapura dan menggalakkan lebih ramai menyertai sukan berkenaan.
“Selama beberapa generasi, Milo kekal komited menyokong golongan muda menerusi sukan dan kami bangga dapat meneruskan perjalanan ini menerusi perkongsian dengan NBA.
“Apa yang membuat kami tidak sabar ialah potensi untuk mengubah tarikan global bola keranjang kepada penyertaan lebih besar di sini,” kata Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo Malaysia dan Singapura, Cik Ng Su Yen.
Kerjasama itu turut merangkumi program runcit dan pengalaman peminat di pasaran terbabit, termasuk promosi pada pek produk yang menampilkan penjenamaan NBA.
Pengguna juga berpeluang memenangi tiket NBA, barangan rasmi serta pelbagai hadiah lain menerusi aktiviti yang bakal dijalankan.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pembangunan Komersial dan Media NBA, Cik Julie Morris, berkata pihaknya berharap dapat memanfaatkan capaian Nestle serta kehadirannya di pasaran tempatan untuk mendekati peminat dengan cara baharu.
“Nestle adalah antara jenama paling dikenali di dunia dan mempunyai hubungan kukuh dengan pengguna di seluruh dunia.
“Kami tidak sabar untuk memanfaatkan capaian Nestle dan kehadiran tempatan di setiap pasaran bagi menghubungkan peminat dengan cara baharu serta menyokong perkembangan berterusan bola keranjang di seluruh dunia,” kata beliau.
Selain Singapura, kerjasama itu akan dilaksanakan di Australia, Brazil, Canada, Colombia, Perancis, Jerman, Ghana, Italy, Indonesia, Malaysia, Mexico, New Zealand, Nigeria, Sepanyol, Thailand, Turkey, Britain, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Filipina pula akan menyertai kerjasama itu mulai Oktober 2027.