Minat filem ‘Mat Kilau’ bawa pesilat ke pentas Chingay
Gigih belajar sendiri asas silat melalui YouTube pada peringkat awal mendalami seni tersebut
Siapa sangka sebuah filem mampu menjadi titik tolak kepada perjalanan salah seorang atlet pencak silat harapan Singapura.
Selepas menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, rasa ingin tahu Muhammad Farrel Danish pada seni silat berkembang menjadi sesuatu yang jauh melangkaui sekadar kekaguman.
Ia meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya walaupun baru berusia 14 tahun ketika itu.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengisahkan seorang pahlawan Melayu terkenal, Mat Kilau, yang bangkit menentang penjajahan British di Pahang sekitar 1892.
Paparan teknik silat yang menarik dan aksi pertarungan yang dramatik dalam filem tersebut telah mendorong Farrel untuk mendalami seni pertahanan diri tradisional Melayu itu dengan lebih serius.
Awalnya, Farrel tidak mempunyai jurulatih mahupun latihan rasmi.
Namun, semangatnya tidak pernah luntur.
Beliau memanfaatkan YouTube sebagai panduan, mempelajari asas silat secara sendiri dengan penuh disiplin dan tekad.
Daripada minat yang tercetus selepas menonton filem tersebut, lahirlah satu kecintaan mendalam terhadap seni bela diri tersebut.
Minat itu akhirnya membuka ruang bagi pesilat berusia 18 tahun itu untuk melangkah ke pentas berprestij Chingay, satu acara tahunan besar yang merai kepelbagaian budaya.
Perarakan Chingay 2026 berlangsung pada 27 dan 28 Februari.
Ibunya, Siti Dahria Sabari, 47 tahun, pada awalnya menyangka ia sekadar minat sementara.
“Apabila beliau mula berkata nak masuk silat, saya fikir mungkin sebab Mat Kilau dan sekadar mahu ikut trend sahaja,” katanya, sambil ketawa.
Namun, kegigihan Farrel, anak kedua daripada tiga beradik, pantas membuktikan sebaliknya.
“Apabila saya nampak beliau berlatih sendiri, daripada tengok YouTube sahaja, dan beliau boleh buat, dari situ saya tahu beliau ada potensi.
“Tanpa guru pun, beliau sudah mempunyai asas kukuh.”
Tidak lama kemudian, keluarganya mendaftarkan beliau di Grasio pada 2022 di bawah bimbingan Sheik Alau’ddin Yacoob Marican.
Keputusan itu menjadi titik perubahan besar dalam perjalanan hidupnya.
Hanya setahun kemudian, beliau sudah meraih pingat emas pertamanya di Kejohanan Pencak Silat Terbuka Timur Tengah Pertama yang diadakan di Dubai.
Beliau meraih tempat pertama dalam acara Tunggal.
“Ia merupakan pertandingan antarabangsa pertama saya... Alhamdulillah saya berjaya dapatkan emas untuk negara,” kata Farrel.
Kemahirannya terus meningkat sejak kejayaan tersebut.
Pada 2024, beliau berjaya mendapatkan dua pingat emas, di acara Tunggal dan Solo Creative, dalam Kejohanan Pencak Silat Asia 2024 di Bukhara, Uzbekistan.
Di belakang setiap kejayaan atau perjuangannya, satu perkara kekal menjadi tonggaknya, iaitu anggota keluarganya.
“Yang membuatkan saya terus maju ke hadapan adalah sokongan ibu bapa saya,” ujarnya.
Ibunya bukan sekadar bergandingan bersama beliau di pentas, bahkan menjadi kekuatan utama di sebalik tabir, menyiapkan pakaian, mengurus solekan, dan setia menemaninya ke pertandingan di dalam mahupun luar negara.
Adiknya, Adam Dahri, berusia 15 tahun, mula meminati silat selepas melihat abangnya berlatih tanpa mengenal erti penat.
“Apabila saya melihat abang saya berlatih, saya juga tergerak untuk menyertai silat,” kata Adam.
Dari Isnin hingga Jumaat, Farrel mengikuti pengajian sebagai pelajar Tahun 2 Kejuruteraan Mekanikal Bersepadu di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur sebelum terus ke sesi latihan dan sering pulang hampir tengah malam.
Namun, ibu bapanya sentiasa ada. Mereka berulang-alik dari Jurong ke Kallang dan kembali semula, serta hadir di setiap pertandingan.
“Ke mana sahaja mereka pergi, kitalah yang ada bersama. Sayalah yang memandu mereka,” kata ayahnya, Encik Kamusuri Md Sharif, 58 tahun.
Ibunya pula melihat silat sebagai pengikat yang menyatukan keluarga.
“Dengan silat, kami jadi makin rapat. Bukan keluarga kami sahaja, keluarga silat lain pun jadi macam adik-beradik,” katanya.
Sifat kekeluargaan itulah yang dipamerkan semasa Perarakan Chingay 2026.
Edisi kali ini melibatkan lebih 3,000 peserta dan 5,000 penduduk dari lima kawasan, menjadikannya kerjasama kemasyarakatan terbesar dalam sejarah perarakan itu.
Farrel dan keluarganya dijadual membuat persembahan dalam Babak 2 dengan beliau berperanan sebagai koreografer bagi segmen ‘Silat’ semasa perarakan tersebut.
Yang paling bermakna bagi Farrel adalah berdiri di atas pentas bersama keluarga.
“Saya sungguh gembira dapat beraksi bersama keluarga saya... saya kagum melihat ibu bapa saya di sisi saya,” kata Farrel.
Bagi ibu bapanya, melihat kededua anak mereka di atas pentas merupakan doa yang dimakbulkan.
“Siang malam kami sokong mereka. Sentiasa doa untuk kejayaan dan masa depan mereka,” ujar ayahnya.

