Kekalahan mengejut Belgium di tangan Slovakia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E bermakna pasukan pimpinan, Domenico Tedesco, itu tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang dalam perlawanan menentang Romania pada awal pagi 23 Jun (3 pagi, waktu Singapura).
Kalah di tangan Romania bukan hanya bermakna Belgium akan tersingkir di peringkat kumpulan, malah ia juga bermakna generasi pemain yang mewakili pasukan yang menduduki kedudukan ketiga Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan pernah ditabal sebagai ‘favourite’ untuk memenangi Piala Dunia lalu, akan sentiasa dikenali sebagai generasi yang gagal memenuhi potensi.
“Bakat yang dimiliki Belgium sejak kira-kira lima, enam tahun lalu adalah menakjubkan. Pasti antara yang terbaik di dunia,” kata bekas pemain England yang kini pengulas bola sepak, Gary Neville.
“Setelah cemerlang dalam pusingan kelayakan namun dalam kejohanan utama kebelakangan ini, pasukan ini gagal menunjukkan kebolehan mereka yang sebenar. Saya pun sukar memahami apa puncanya,” ujar beliau.
Setelah menjuarai kumpulan kelayakan bagi dua kejohanan Euro sebelum ini, Belgium bagaimanapun tersingkir di peringkat suku akhir.
Meskipun demikian, Tedesco berkata pasukannya bukan dalam keadaan panik.
“Semua orang telah melihat perlawanan menentang Slovakia. Kami jelas pasukan yang lebih baik, kami mempunyai peluang jaringan yang begitu banyak.
“Malangnya kami gagal menyempurnakannya dan juga nasib tidak menyebelahi kami dengan gol kedua Romelu (Lukaku) yang tidak disahkan VAR (video penolong pengadil).
“Jadi sejak perlawanan itu, skuad kami kecewa tapi bersemangat untuk menebus kekalahan. Kami telah bekerja keras menajamkan aspek-aspek permainan kami yang boleh diperbaiki, dan semangat dalam skuad ini kekal tinggi,” ujarnya.
Kapten pasukan, Kevin De Bruyne, menekankan ini adalah masanya untuk para pemain dan seluruh pasukan kekal tenang.
“Kami mempunyai mutu dalam pasukan ini. Kami harus yakin bahawa mutu ini akan membawa kepada kemenangan dan kejayaan,” ujarnya.
Pemain pertahanan, Jan Vertonghen, pula memberitahu Reuters, beliau yakin bahawa dengan pemain yang dimiliki Belgium, pasukan itu mampu mendapatkan keputusan positif malam ini.
“Saya tidak begitu bimbang kami tidak akan melayakkan diri. Saya yakin kami akan menjaringkan gol,” kata pemain pertahanan veteran itu.
Meskipun bersikap yakin, hakikatnya Belgium pasti resah dengan kemungkinan akan tersingkir awal sekali lagi setelah gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Dunia Qatar pada 2022.
Romania pula mendekati perlawanan ini tanpa rasa tekanan yang berat.
Kemenangan menentang Ukraine dalam perlawanan pertama merupakan hanya kali kedua Romania menang dalam perlawanan kejohanan Eropah, dengan kemenangan sulung mereka dicapai pada Euro 2000 dalam kemenangan 3-2 ke atas England.
“Generasi pemain kami ini adalah generasi yang sungguh bersemangat, mereka memberikan segalanya kepada negara,” kata jurulatih Romania, Edward Iordanescu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg