SPH Logo mobile
Langgan|

MOH semak gaji staf penjagaan masyarakat, boleh naik 7% atau lebih

MOH semak gaji staf penjagaan masyarakat, boleh naik 7% atau lebih

Garis panduan gaji 23,000 kakitangan itu disemak jelang akhir 2026
Feb 17, 2026 | 4:28 PM

MOH semak gaji staf penjagaan masyarakat, boleh naik 7% atau lebih

Ong Ye Kung, lawatan, Tahun Baru, Cina
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tengah) beramah mesra dengan petugas penjagaan kesihatan pada hari pertama perayaan Tahun Baru Cina 2026 di Hospital Alexandra dan Hospital St Luke pada 17 Februari 2026. - Foto ST

Gaji sekitar 23,000 kakitangan penjagaan masyarakat boleh dinaikkan sekitar 7 peratus atau lebih menjelang akhir 2026 apabila garis panduan gaji mereka disemak, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyediakan peruntukan awal $100 juta untuk menampung kos tambahan yang ditanggung akibat gaji yang dinaikkan itu, kata Encik Ong lagi.

Semakan gaji itu adalah tambahan kepada kenaikan subsidi maksimum yang diumumkan sebelum ini bagi mereka yang memerlukan penjagaan jangka panjang di kediaman. Ia akan dinaikkan kepada 80 peratus pada Julai 2026.

Subsidi maksimum untuk warga negara Singapura ialah 75 peratus, manakala untuk penduduk tetap ialah 50 peratus.

Encik Ong berkata butiran garis panduan gaji yang disemak itu akan dikeluarkan dalam beberapa bulan akan datang.

Justeru, pihak organisasi perlu membuat rancangan yang diperlukan sebelum pelaksanaannya menjelang akhir tahun.

“Saya berharap dengan langkah ini, kita terus menjadikan penjagaan kesihatan sebagai kerjaya yang menarik untuk setiap bahagian penjagaan kesihatan, sama ada operasi hospital akut atau dalam persekitaran penjagaan masyarakat,” ujar beliau, lapor The Straits Times.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras Dasar Sosial, bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke Hospital Alexandra pada hari pertama Tahun Baru Cina, pada 17 Februari.

Pengumuman itu dibuat selepas kira-kira 63,000 karyawan penjagaan kesihatan sektor awam menyaksikan gaji pokok bulanan mereka meningkat sehingga 7 peratus mulai Julai 2025, sebagai sebahagian daripada usaha menarik dan mengekalkan kakitangan sektor tersebut.

Organisasi sedemikian menyediakan perkhidmatan jangka pertengahan dan jangka panjang untuk pesakit yang memerlukan penjagaan dan rawatan lanjut selepas keluar dari hospital umum. Ini selain perkhidmatan seperti kejururawatan di rumah dan penjagaan harian untuk warga emas.

MOH pertama kali menerbitkan garis panduan gaji untuk organisasi sedemikian pada 2024, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan ketelusan yang lebih besar tentang gaji dalam sektor ini.

Presiden Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU), Cik K. Thanaletchimi berkata pihaknya telah bekerjasama dengan MOH bagi memastikan penyelarasan gaji dibuat untuk sektor penjagaan masyarakat.

“Pekerja penjagaan kesihatan dalam sektor penjagaan komuniti memikul tanggungjawab berat yang sama untuk menyediakan penjagaan terbaik kepada pesakit seperti rakan sejawat mereka dalam sektor penjagaan akut,” kata Cik Thanaletchimi, yang juga presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Semasa lawatan ke Hospital Alexandra dan Hospital St Luke di Bukit Batok, Encik Ong bercakap dengan pesakit dan kakitangan di kedua-dua hospital, dan menghadiahkan limau kepada mereka.

Beliau juga menyertai kakitangan dari kedua-dua hospital untuk sesi lohei – lambungan yusheng iaitu dulang berisi sayur dan makanan laut – tradisional semasa perayaan Tahun Baru Cina.

Di Hospital Alexandra, Encik Ong mengunjungi dua buah wad yang menggunakan teknologi seperti kamera pemantauan jarak jauh dan peranti sebagai sebahagian daripada projek percubaan. Ia membolehkan pemantauan pesakit secara maya.

Beliau juga diberi taklimat tentang kemas kini pembangunan semula hospital yang akan dibuka semula secara berperingkat mulai 2028, dengan perkhidmatan hospital utama kekal beroperasi seiring dengan kemajuan kerja.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg