ITALY: Romelu Lukaku sekarang berganding semula dengan bekas pengurusnya di Chelsea – Jose Mourinho – di AS Roma dalam Serie A Italy.
Ini setelah penyerang asal Belgium berusia 30 tahun itu dipinjamkan oleh kelab Liga Perdana England (EPL) Chelsea kepada Roma pada 1 September.
Mourinho memimpin Roma ke final Liga Euro pada musim lalu.
Lukaku menjaringkan 14 gol dalam 37 penampilan semasa di Italy musim lalu, apabila beliau membantu Inter Milan ke final Liga Juara-Juara, apabila pasukan itu tewas kepada Manchester City dengan jaringan 1-0.
Sekembalinya ke London selepas dipinjamkan kepada Inter, beliau langsung tidak disertakan dalam perancangan pengurus baru Chelsea, Mauricio Pochettino. Ia membawa kepada beliau dipinjamkan pula kepada Roma.
Ini kali kedua Mourinho mendapatkan khidmat Lukaku. Kali pertama pada 2017 semasa beliau mengurus Manchester United.
Bercakap kepada media pada 2022, Mourinho berkata beliau tahu cara mendapatkan yang terbaik daripada Lukaku.
“Semasa di Inter Milan, beliau menjadi pemain terbaik dan amat disenangi peminat dan rakan sepasukannya.
“Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan jurulatihnya.
“Lukaku seorang yang bertubuh besar, kuat secara fizikal, namun beliau mempunyai jiwa bak anak kecil yang perlu disayangi, disokong dan perlu berasa dirinya penting,” kata Mourinho.
Roma kelab ketujuh Lukaku sejak memulakan kerjayanya di Anderlecht semasa remaja sebelum menyertai Chelsea. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg