Usahawan teknologi dan pemilik kelab Lion City Sailors (LCS), Forrest Li, dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 28 April.
Kapten pasukan bola sepak lelaki nasional, Hariss Harun, juga dilantik sebagai antara empat naib presiden FAS.
Tiga lagi naib presiden ialah Pengerusi Hougang United, Bill Ng; Pengurus Besar LCS, Tan Li Yu; dan Ketua Staf Burnley FC, Sean Bai.
Pengerusi Tampines Rovers, Desmond Ong, dilantik sebagai timbalan presiden.
Kumpulan itu disertai tiga majlis anggota biasa, Pengarah Eksekutif Sailors, Bruce Liang; pengerusi St Joseph’s Institution (SJI) International, Roy Quek; dan pengurus kanan Tasek Academy and Social Services, Arivan Shanmugaratnam; untuk membentuk pasukan kepimpinan baru Li yang mendaftar sebagai calon untuk memimpin FAS.
Pasukan yang diketuai Li itu dilantik tanpa bertanding selepas satu lagi pasukan yang ingin bertanding didapati tidak memenuhi syarat tertentu.
Pasukan tersebut, yang diketuai mantan Naib Pengerusi Balestier Khalsa, Darwin Jalil, didapati tidak layak kerana seorang calonnya tidak memenuhi syarat kelayakan dalam kod pemilihan FAS.
Li dan pasukannya diumumkan sebagai anggota Majlis FAS terbaru di Kongres Luar Biasa FAS yang diadakan di Raffles Town Club di Plymouth Avenue pada 28 April.
Bercakap kepada media, Li berkata beliau ingin menghidupkan semula semangat dan kebanggaan bola sepak Singapura dalam kalangan rakyat.
“Saya rasa rakyat Singapura benar-benar mahu pasukan kebangsaan dan juga pemain kita bermain dengan baik di semua peringkat pertandingan yang berbeza,” kata beliau.
“Kami berharap dari masa ke masa akan ada lebih ramai kanak-kanak yang pada waktu selepas sekolah, daripada menghabiskan masa di pusat tuisyen, akan turun ke padang dan menikmati permainan bola sepak... dengan itu lebih ramai akan bermain bola dan ini meningkatkan peluang untuk kami hasilkan ‘Ronaldo’ dan ‘Messi’ sendiri,” tambah beliau.
Li menggantikan Bernard Tan, yang berkhidmat sebagai presiden sejak 2022, apabila presiden asal, Lim Kia Tong, meninggal dunia akibat serangan jantung pada September 2022.
Sementara itu, lima daripada enam calon lain turut diterima menyertai Majlis FAS yang baru.
Mereka merupakan dua bekas pemain kebangsaan, Aide Iskandar dan Aleksandar Duric; pengerusi pasukan Liga Bola Sepak Singapura (SFL) Katong FC, Andy Tan Wah Yeow; pakar perubatan, Dinesh Nair; serta anggota Singa Brigade, Syed Faris. Singa Brigade ialah kumpulan penyokong bola sepak setempat.
Yeong Sheau Shyan – ketua bola sepak wanita di LCS dan bekas pemain pasukan kebangsaan wanita – dilantik secara automatik mengikut syarat FAS yang menetapkan sekurang-kurangnya seorang wanita mesti menganggotai majlis tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg