LONDON: Manchester United telah mengesahkan pelantikan, Dan Ashworth, sebagai pengarah sukan baru mereka setelah mencapai persetujuan dengan bekas kelabnya, Newcastle United.
Kedua-dua pasukan Liga Perdana England itu telah mengeluarkan kenyataan bersama pada 1 Julai mengumumkan bahawa Ashworth telah dibebaskan daripada kontraknya di St. James’ Park.
Tiada butiran pampasan didedahkan tetapi ia difahamkan bahawa Ashworth, 53 tahun, dijangka memulakan tugas barunya di Old Trafford dengan serta-merta.
Kenyataan itu berkata: “Newcastle United dan Manchester United telah mencapai persetujuan atas pelepasan Dan Ashworth daripada kewajipan kontraknya di Newcastle United.
“Terma persetujuan itu akan kekal rahsia antara kededua kelab. Newcastle United berterima kasih kepada Dan atas sumbangannya dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan.”
Minat United terhadap Ashworth menjadi ketara setelah syarikat Jim Ratcliffe, INEOS menyelesaikan pembelian kepentingan minoriti dalam kelab itu dan mengambil alih pengendalian operasi bola sepak di Old Trafford.
Terdapat laporan Newcastle memohon pampasan £20 juta ($34.33 juta) untuk melepaskan Ashworth.
Ratcliffe menyifatkan jumlah itu sebagai tidak masuk akal, namun kini, kata sepakat sudah dicapai.
Ashworth, yang sebelum ini Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak (FA) England, diharap dapat mengembalikan era keemasan kelab itu.
Sebelum ini, Omar Berrada, dilapor akan menyertai United daripada Manchester City sebagai Pengarah Eksekutif dan Jason Wilcox, yang sebelum ini di Southampton, adalah pengarah teknikal United yang terkini.
Bercakap pada awal 2024 ketika persetujuan dengan Ashworth masih belum dicapai, Ratcliffe berkata:
“Saya rasa Dan Ashworth semestinya antara salah seorang pengarah teknikal sukan yang terkenal di dunia. Saya tidak ragu-ragu beliau adalah seorang yang amat berkebolehan.”
Kempen mengecewakan pada musim lepas berakhir dengan United menewaskan Manchester City dalam final Piala FA.
Pengurus United, Erik ten Hag, berada di bawah tekanan yang hebat sepanjang musim tetapi pengurus Belanda itu akan kekal di United, bagi mempersiapkan dirinya untuk musim ketiga di bawah kendaliannya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg