Muhammad Tasman Mohammed Belal dan Mohamad Nor Afdlin Mohamad Iskandar, bakal membuat penampilan sulung di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Walaupun baru dalam sukan temasya itu, mereka hadir dengan semangat juang yang kuat dan bertekad mengangkat semula nama sepak takraw Singapura.
Bagi mereka, perjalanan ke temasya tersebut bukan sekadar satu peluang.
ia disifatkan sebagai satu pengalaman yang tidak pernah dijangka.
Pengalaman tersebut juga menjadi lebih bermakna dengan sokongan padu keluarga yang terus menjadi sumber kekuatan dan dorongan.
Bagi Tasman, sukan itu bermula hanya sebagai hobi.
“Lepas sekolah, saya sekadar main-main sahaja, kadangkala di kolong blok sahaja,” katanya.
Sokongan terbesar Tasman datang daripada ayahnya, Mohammed Belal Kassan, yang tidak pernah berhenti mengingatkan anaknya agar kekal rendah hati.
“Ayah saya yang dorong saya. Beritahu saya untuk sentiasa jadi lebih baik, tetapi kekal rendah hati,” katanya.
Apabila Tasman dipilih untuk mewakili Singapura ke Sukan SEA, beliau berkongsi bahawa ayahnya terkejut namun jelas bangga.
“Beliau terus beri saya kata semangat dan suruh saya fokus,” tambahnya.
Bagi Afdlin pula, beliau mula bermain sepak takraw agak lewat berbanding dengan pemain lain.
Kali pertama beliau ‘menyentuh’ bola takraw adalah ketika berusia 18 tahun.
Sebelum ini, beliau merupakan atlet sekolah rendah dan pemain bola sepak di Sekolah Menengah Bedok Green.
Baginya, stamina yang dibina semasa bermain bola sepak membantunya.
Tetapi dunia sepak takraw jauh lebih mencabar.
Afdlin berkongsi, beliau mula bermain sepak takraw kerana mendapat inspirasi daripada adiknya sendiri.
“Apabila saya lihat beliau main sepak takraw nampak agak menarik, buat saya ingin mencubanya,” ceritanya.
Kini, kededuanya bermain bagi kelab sama, Mayang Putra, dan adiknya menjadi penyokong kuatnya.
“Beliau sangat bangga apabila saya dapat main untuk Singapura,” kongsi Afdlin.
Apabila ditanya tentang perasaannya dipilih ke Sukan SEA, Afdlin meringkaskannya dengan satu perkataan – gembira.
Baginya, semua latihan, semua keletihan, semua detik sukar akhirnya membawa kepada peluang besar itu.
“Kini saya sudah dapat peluang untuk wakili Singapura di Sukan SEA, jadi saya tidak akan mensia-siakannya,” kata beliau.
Tasman pula menegaskan pengalaman menentang lawan di peringkat antarabangsa bakal menjadi pencetus kebangkitan sepak takraw Singapura.
Afdlin bersependapat.
Kejohanan Piala Asia pada Mei 2025 membuatkan beliau sedar secara peribadi peringkat antarabangsa tidak seperti perlawanan tempatan.
“Perlawanan antarabangsa memang susah, perlu sentiasa fokus dan mental juga perlu kuat,” jelasnya.
Walaupun beliau tidak bermain begitu baik dalam kejohanan tersebut, ia tidak mematahkan semangatnya.
Malah, ia menjadi pendorong baginya.
“Saya rasa lebih yakin sekarang. Saya lebih tahu apa yang perlu saya buat, apa yang saya tidak patut lakukan.”
Beliau turut berkongsi dahulu beliau kerap berdepan dengan perasaan dirinya tidak cukup bagus.
“Kadangkala saya tertanya kenapa kemahiran saya tidak meningkat. Tetapi saya akhirnya sedar untuk sampai tahap itu ambil masa,” katanya.
Apabila ditanya tentang kritikan yang diterima pasukan sepak takraw sekarang, mereka sebulat suara ingin menjadikannya pembakar semangat.
“Kritikan itu normal. Saya ambilnya sebagai semangat,” kata Afdlin.
Kepada penyokong, mereka berdua hanya mahu menyampaikan rasa terima kasih.
“Terima kasih atas sokongan anda. Jangan berhenti percaya pada pasukan takraw Singapura,” pesan Afdlin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg