Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain senior tekad bantu tingkat keyakinan

Dec 8, 2025 | 5:30 AM
Muhammad Hasbi Zainal adalah antara pemain paling berpengalaman dalam skuad sepak takraw. Beliau bertekad untuk bantu membimbing pasukan agar dapat menjadi teladan kepada pemain lebih muda.
Muhammad Hasbi Zainal adalah antara pemain paling berpengalaman dalam skuad sepak takraw. Beliau bertekad untuk bantu membimbing pasukan agar dapat menjadi teladan kepada pemain lebih muda. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Dengan Sukan SEA 2025 semakin hampir di samping prestasi pasukan negara yang belum mencapai tahap diharapkan, skuad sepak takraw Singapura berdepan cabaran besar.

Namun di tengah-tengah keadaan itu, Muhammad Hasbi Zainal, 28 tahun, pemain paling senior pasukan, tetap percaya mereka mampu bangkit.

“Saya tahu ada yang katakan bahawa prestasi kita tak bagus. Tapi bagi saya, kalau kita tidak percaya pada diri sendiri, siapa lagi mahu percaya?” kata Hasbi ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas satu sesi latihan.

Hasbi terus mengasah permainannya, memperkemas kawalan bola dan membimbing pemain lebih muda, kerana beliau sedar peranannya kini bukan sekadar bermain, malah memimpin dan membangkitkan semula keyakinan pasukan.

Pada 2014, Hasbi mula bermain buat kelab Mayang Putra, sebelum berpindah ke kelab lain untuk mencari pengalaman bersama pemain berpengalaman, termasuk bekas pemain kebangsaan.

Pada 2019, Hasbi mula mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa.

Hakikatnya, sepak takraw Singapura bukan dalam tahap yang baik.

“Sekarang kami mempunyai ramai pemain baru. Ada potensi tapi kurang pengalaman,” katanya.

Sebagai pemain paling senior, Hasbi mengakui tekanan itu berat. Kadangkala beliau pulang lewat daripada latihan, rumah sunyi, tubuh letih, tetapi beliau tetap kembali ke gelanggang esoknya.

“Saya fikir kalau saya putus asa, macam mana pemain yang lagi muda daripada saya? Mereka lihat saya. Kalau saya ‘jatuh’, mereka pun ‘jatuh’,” ceritanya.

Beliau juga mengakui agak sukar untuk mengimbangi kerjanya sebagai pegawai Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dengan latihan skuad negara.

“Habis kerja terus ke latihan. Balik rumah lewat. Kadang-kadang susah nak imbangi semuanya. Penat tu memang penat,” kongsinya.

Namun beliau tetap turun ke gelanggang, hari demi hari, minggu demi minggu, kerana keinginannya untuk membuktikan Singapura mampu bangkit ke tahap kegemilangan dalam sukan tersebut.

Langkah pertama bagi beliau adalah untuk mendapatkan pingat semasa Sukan SEA di Thailand.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa. Ini akan cukup beri semangat untuk semua.

“Yang paling penting mereka (pasukan lawan) lihat kita boleh bertarung. Jangan biarkan mereka katakan bahawa Singapura sekadar datang saja-saja (ke temasya),” ujar Hasbi.

Latihan pasukan Singapura kini lebih menumpukan kepada aspek taktikal dan strategi menghadapi lawan.

“Kami nak pastikan, bila masuk gelanggang nanti, pasukan dan penyokong lawan tidak boleh pandang rendah terhadap pasukan Singapura,” tambahnya.

Beliau ketawa apabila ditanya bagaimana beliau mahu ‘meraikan’ tempoh selepas temasya Sukan SEA nanti.

“Sudah tentu ada yang katakan ingin cuti, nak makan sedap... tapi tumpuan saya kepada berlatih semula, untuk Sukan Asia nanti... itu rancangan saya,” katanya.

Buat mereka yang memandang rendah terhadap sukan sepak takraw, Hasbi tidak berasa marah namun bersikap tegas.

“Kalau tidak percaya… turun gelanggang dan lihat sendiri. Kami akui bahawa kami bukan pada tahap terbaik sekarang. Tetapi setiap hari kami berusaha, bekerja keras untuk pertingkatkan sepak takraw Singapura,” tambahnya.

Beliau juga memberi pesanan kepada pemain muda agar usah gentar dan berani mencuba.

Walaupun pasukan Singapura tidak berada pada prestasi terbaik, Hasbi percaya sepak takraw Singapura mampu bangkit semula.

“Kami tidak pernah berhenti mencuba. Kalau ada yang fikir kami sudah jatuh, itu okey. Kerana apabila kami bangkit nanti, mereka juga akan lihat,” tambah Hasbi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg