Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mungkinkah musim ini peluang terbaik Norris julang kejuaraan F1?

Namun usah perkecil kemampuan juara bertahan pemandu Red Bull, Max Verstappen, serta pemandu Ferrari, Charles Leclerc, menunjukkan kehebatan mereka di detik-detik penghujung F1 musim ini
Sep 23, 2024 | 5:30 AM
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, belum pernah menang dalam tujuh perlumbaan Grand Prix terakhir.
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, belum pernah menang dalam tujuh perlumbaan Grand Prix terakhir. - Foto REUTERS

Soalan: Dengan Oscar Piastri kelihatan sebagai pemandu lebih pantas, adakah musim ini peluang terbaik bagi beliau atau rakan sepasukan, Lando Norris, muncul juara dunia bagi pasukan McLaren?

Jawapan: Pertama, adalah kurang tepat untuk mengatakan Piastri dari McLaren adalah “pemandu lebih pantas”. Malah, (rakan sepasukannya) Norris mempunyai sedikit kelebihan tahun ini (2024).

Dalam pusingan kelayakan mereka, Norris mendahului 13-3, dan lebih pantas 0.116 saat secara purata.

Ini hanya mengambil kira perlumbaan yang membolehkan perbandingan adil dilakukan, dan tidak termasuk sesi perlumbaan (di keadaan litar) basah dalam pengiraan kelajuan secara purata.

Kali terakhir Piastri menewaskan Norris dalam pusingan kelayakan adalah di Monaco pada Mei.

Norris mendahului Piastri dalam kejohanan ini dengan 32 mata.

Ya, Piastri meraih lebih banyak mata daripada pemandu lain dalam tujuh perlumbaan lalu, tetapi ia tidak semestinya bermakna beliau “lebih pantas” daripada Norris.

Secara ringkas, mungkin lebih adil untuk mengatakan bahawa mereka adalah saingan rapat (dalam perlumbaan).

Piastri adalah bakat luar biasa, dan prestasi perlumbaan beliau adalah antara yang terbaik dalam sukan ini.

Norris baru berusia 24 tahun dan antara golongan elit.

Kededua Norris dan Piastri kelihatan (berupaya menjadi) juara dunia masa depan.

Soalan: Bilakah kali terakhir pasukan seperti Red Bull mendominasi separuh pertama sesuatu musim, dan kemudian prestasinya merosot secara dramatik?

Jawapan: Red Bull mengalami kemerosotan dramatik dalam daya saing pada musim ini.

Daripada mendominasi perlumbaan pada awal tahun ini (2024) – empat kemenangan dalam lima perlumbaan pertama dan tujuh kemenangan dalam 10 perlumbaan pertama bagi pemandu Red Bull, Max Verstappen hingga kini – beliau belum pernah menang dalam tujuh perlumbaan Grand Prix terakhir. 

Ia sangat luar biasa, tetapi bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Contohnya pada 2009, pemandu, Jenson Button, memenangi enam daripada tujuh perlumbaan pertama bagi pasukan Brawn.

Selepas itu, beliau meraih lebih dua kali ganda mata berbanding pemandu Red Bull, Sebastian Vettel, yang merupakan saingan rapat Button.

Button kemudian tidak menang lagi sepanjang musim, dan kejohanan itu menjadi lebih sengit. Namun akhirnya, Button memenangi perlumbaan musim berkenaan.

Soalan: Dapatkah Ferrari menyaingi Red Bull? Adakah Charles Leclerc juga berpotensi meraih gelaran?

Jawapan: Verstappen berkata selepas Grand Prix Italy dan Grand Prix Azerbaijan bahawa beliau tidak bimbang dengan ancaman daripada (pemandu Ferrari), Leclerc, dalam saingan bagi merebut kejuaraan pemandu.

Sebabnya mudah – pemandu Ferrari tersebut ketinggalan 78 mata di belakang Verstappen.

Beliau perlu mendapat lebih 11 mata berbanding Verstappen dalam setiap perlumbaan secara purata sepanjang baki musim ini... sesuatu yang sukar dicapai.

Malah sasaran pemandu McLaren, Norris untuk meraih lebih lapan mata dalam setiap perlumbaan juga sukar dicapai.

Bagaimanapun, kejuaraan pasukan adalah berbeza.

Red Bull hilang pendahuluan dalam perlumbaan kepada McLaren di Azerbaijan pada 15 September dan sukar baginya untuk meraih semula kedudukan itu.

Ferrari kini hanya 31 mata di belakang Red Bull dan mungkin mengecilkan jurang itu di Singapura pada hujung minggu lalu – ia menang pada tahun lalu (2023), dan Red Bull tidak menjangka (prestasi) hujung minggu yang baik di Marina Bay.

Tetapi masih belum jelas sejauh mana Ferrari dapat memberi saingan dalam tujuh perlumbaan terakhir.

Leclerc berkata mereka perlu menunggu sehingga Grand Prix Amerika Syarikat di Austin untuk membuat penilaian muktamad kerana Monza (di Italy); Baku (di Azerbaijan); dan Singapura adalah ‘litar Ferrari’, di mana ia juga menunjukkan prestasi hebat pada 2023.

Soalan: Bagaimana Aston Martin boleh mengambil Adrian Newey, bayar gaji Fernando Alonso dan buka terowong angin baru, jika terdapat had perbelanjaan?

Jawapan: Had perbelanjaan membolehkan pasukan berbelanja hingga £106 juta ($181 juta) setahun untuk reka bentuk dan binaan kereta, gaji dan operasi. Tetapi ia tidak termasuk beberapa kos lain.

Antaranya ialah gaji pemandu, dan pakej gaji tiga eksekutif teratas dengan pendapatan tertinggi. Jadi gaji Alonso dan Newey tidak termasuk dalam had perbelanjaan itu.

Mengenai kilang dan terowong angin baru, pengecualian juga diberikan bagi perbelanjaan modal.

Ia bukanlah pengecualian yang merangkumi semua. Contohnya, ketua pasukan perlumbaan Williams, James Vowles, membuat aduan pada 2023 bahawa had perbelanjaan sepatutnya lebih tinggi untuk membolehkan pasukannya membuat pelaburan dalam prasarana yang diperlukan.

Perkara ini perlu mendapat kelulusan badan pentadbir Formula Satu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).  

Pasukan Aston Martin telah membelanjakan lebih £200 juta untuk kemudahan barunya, namun ia berada di bawah kriteria tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg