Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piastri akur catat prestasi terbaik untuk juarai Grand Prix Azerbaijan

Sep 16, 2024 | 5:29 PM
Pemandu McLaren, Oscar Piastri, membuat satu pusingan semasa Grand Prix Azerbaijan.
Pemandu McLaren, Oscar Piastri, membuat satu pusingan semasa Grand Prix Azerbaijan. - Foto EPA-EFE

BAKU (Azerbaijan): Pemandu McLaren, Oscar Piastri, mencatat “antara perlumbaan terbaik” dalam kerjayanya selepas memenangi Grand Prix Azerbaijan pada 15 September.

Beliau juga menyatakan kemenangannya disebabkan usaha keras pasukannya dan gembira dengan prospek masa depan mereka.

Piastri berjaya menafikan cabaran pemandu Ferrari, Charles Leclerc, untuk memenangi perlumbaan itu.

Pemandu Mercedes, George Russell, berada di tempat ketiga.

Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris, menamatkan perlumbaan di tempat keempat, mengurangkan jurang dengan pendahulu kejuaraan dari Red Bull, Max Verstappen (yang menduduki tempat kelima), kepada 59 mata dengan baki tujuh perlumbaan dan tiga perlumbaan pecut.

Lebih penting lagi, McLaren (476 mata) berjaya mengatasi Red Bull (456 mata) dalam kedudukan kejohanan pasukan.

“Ia pastinya salah satu perlumbaan lebih baik dalam kerjaya saya.

“Dalam dua pusingan terakhir apabila Leclerc terkeluar daripada DRS (sistem pengurangan seretan), keadaan lebih relaks tetapi tidak ada pusingan yang mudah dalam perlumbaan ini, jadi ia satu kerja keras.

“Ia hasil usaha besar pasukan ini dan saya teruja untuk melihat apa yang bakal berlaku pada masa depan,” kata Piastri.

Perlumbaan di jalan raya Baku menyaksikan satu drama di penghujung saingan apabila kereta pelumba Ferrari, Carlos Sainz, melanggar kereta pemandu Red Bull, Sergio Perez, menyebabkan perlumbaan berakhir dengan kemunculan kereta keselamatan.

Leclerc mendahului perlumbaan selepas meraih petak pertama buat kali keempat berturut-turut di Baku sehingga pusingan ke-20, sebelum Piastri berjaya memintasnya.

Pertarungan sengit antara Piastri dari Australia dan pemandu dari Monaco itu berterusan, namun Piastri berjaya mempertahankan kedudukannya sekali gus meraih kemenangan kedua dalam kerjayanya selepas kejayaan di Hungary pada Julai lalu.

“McLaren dan Oscar Piastri bekerja secara luar biasa dan melakukan lebih baik daripada kami,” kata Leclerc.

Verstappen, yang belum memenangi sebarang perlumbaan dalam tujuh perlumbaan terakhir, masih mendahului kedudukan pemandu dengan 313 mata.

Norris, yang meraih mata tambahan kerana melakukan pusingan terpantas, mengumpul 254 mata menjelang Grand Prix Singapura yang bakal berlangsung dari 20 hingga 22 September. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg