Topik diikuti
Pergi ke BHkuMurray beri bayangan bersara lepas Olimpik atau Wimbledon
Murray beri bayangan bersara lepas Olimpik atau Wimbledon
LONDON: Bekas pemain tenis lelaki nombor satu dunia, Andy Murray, bakal bersara sebagai pemain profesional selepas kejohanan Wimbledon atau Sukan Olimpik di Paris.
Pada Februari, Murray, yang berasal dari Scotland dan berusia 37 tahun, berkata beliau tidak bercadang untuk “bermain terlalu banyak perlawanan selepas musim panas”, tetapi belum mengatakan kejohanan yang akan menjadi yang terakhir baginya.
Namun pada 16 Jun, Murray memberitahu BBC beliau mungkin tidak meneruskan kerjayanya selepas Sukan Olimpik, yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Ditanya apakah beliau mungkin bermain di Terbuka Amerika Syarikat atau Piala Davis, Murray menjawab: “Saya fikir tidak.
“Mungkin jika saya akan menamatkan kerjaya saya, saya lebih suka menamatkannya di Wimbledon atau Sukan Olimpik – bagi saya itu lebih sesuai.
“Saya mempunyai pengalaman dan kenangan luar biasa dalam kejohanan Wimbledon, tetapi juga menjadi sebahagian daripada pasukan Olimpik Britain.”
Murray menjuarai Wimbledon pada 2013 dan 2016. Kejohanan ini akan berlangsung di All England Club dari 1 hingga 14 Julai.
Beliau memenangi pingat emas Olimpik dua kali, iaitu dalam acara perseorangan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dan tersenarai dalam pasukan Britain bagi Olimpik Paris.
Beliau berkata: “Diberi peluang bersaing dalam Olimpik kelima adalah salah satu sebab untuk kekal bermotivasi dan terus bermain.
“Seperti yang saya katakan, kebanyakannya bergantung pada keputusan perlawanan dan bagaimana saya berasa secara fizikal.”
Selepas Olimpik, Terbuka AS berlangsung di New York dari 26 Ogos hingga 8 September.
Pada September pula, Britain akan bermain pada peringkat kumpulan Final Piala Davis di Arena AO di Manchester.
“Rancangan saya tidak berubah. Saya tidak merancang bermain terlalu banyak perlawanan selepas musim panas ini. Saya akan lihat bagaimana saya rasa secara fizikal dalam beberapa minggu akan datang.
“Ada banyak perkara yang perlu diambil kira untuk bersara daripada sukan. Saya berpendapat dalam kebanyakan kerjaya, persaraan adalah sesuatu yang anda raikan dan orang ramai sangat menantikan hari tersebut – itu bukan sesuatu yang saya rasa. Saya suka bermain tenis.
“Namun jika secara fizikal anda tidak dapat bermain pada tahap yang anda mahukan, keputusan tidak memihak kepada anda, hal ini menjadi antara faktor dalam keputusan (untuk bersara),” ujar Murray. – Agensi berita.