Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Musim baru Liga Pro Saudi senyap?

Aug 22, 2024 | 3:36 PM
Cristiano Ronaldo mula bermain dengan kelab Al-Nassr pada Disember 2022.
Cristiano Ronaldo mula bermain dengan kelab Al-Nassr pada Disember 2022. - Foto REUTERS

Musim Liga Pro Saudi 2024-25 baru sahaja bermula.

Setahun lalu, kelihatan seperti seorang bintang dunia bola sepak tiba di Riyadh, Jeddah dan tempat lain di Arab Saudi, hampir setiap hari.

Kesemuanya, beberapa kelab bola sepak di Saudi telah membelanjakan sekitar 700 juta paun ($1.2 bilion) pada musim panas untuk menarik bintang bola sepak seperti Neymar, Karim Benzema dan Riyad Mahrez.

Mereka dijangka mengikuti langkah Cristiano Ronaldo yang mula bermain dengan kelab Al-Nassr pada Disember 2022.

Namun, sekiranya terdapat jangkaan bahawa kelab-kelab di Saudi akan berbelanja besar seperti musim lalu, ia masih belum tercapai.

“Musim panas kali ini agak senyap di seluruh arena bola sepak sedunia,” ujar profesor sukan dan ekonomi geopolitik di Sekolah Perniagaan Skema di Paris, Simon Chadwick, kepada BBC Sport.

Menurut Profesor Chadwick, ia disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar kini, kejohanan pasukan kebangsaan peringkat benua yang tamat agak lewat, di samping masalah dihadapi kelab di pelbagai wilayah yang berusaha mematuhi peraturan kewangan tempatan yang rumit.

Walaupun terdapat spekulasi bahawa pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah, dan penyerang Real Madrid, Vinicius Jr, mungkin akan bermain di kelab Arab Saudi, namun setakat ini masih belum ada perjanjian pemindahan pemain melibatkan kontrak jutaan dolar di Arab Saudi.

Minggu lalu, kelab Brentford menolak tawaran 35 juta paun untuk membeli penyerang England, Ivan Toney daripada kelab Liga Pro Saudi, Al-Ahli.

“Masalah berbelanja besar untuk bakat import yang mahal ialah perbelanjaan besar begitu perlu dikekalkan secara berpanjangan.

“Ia mahal, tidak menjamin kejayaan, boleh menimbulkan keadaan tidak stabil dan menjejas prestasi pasukan nasional.

“Dalam sukan bola sepak Arab Saudi, (perkara ini) kini mungkin difikirkan secara lebih teliti dan lebih strategik, berbanding dua tahun lalu,” tambah Profesor Chadwick.

Bagaimanapun, masih terdapat ramai bintang bola sepak handalan di Saudi.

Misalnya, Kelab Al-Ahli menghantar 14 pemain ke Kejohanan Eropah pada musim panas ini, termasuk Merih Demiral, pemain pertahanan Turkey.

“Kami menunjukkan kepada semua bahawa Liga Pro Saudi bukanlah liga yang senang (untuk bermain).

“Kami bekerja keras di sini - latihan dan permainan kami tidaklah senang seperti yang disangka ramai,” kata Demiral.

Kelab Al-Ahli adalah antara empat kelab besar yang dimiliki Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi.

Tiga lagi kelab ialah Al-Hilal, Al-Nassr dan Al-Ittihad.

Empat kelab tersebut membelanjakan 750 juta paun pada 2023 dalam usaha memikat bintang-bintang dunia bola sepak untuk bermain di Arab Saudi.

Al-Hilal menjadi juara rekod Liga Pro Saudi untuk kali ke-19, sekali gus menyebabkan juara bertahan Al-Nassr gagal memenangi liga itu untuk dua kali berturut-turut.

Secara purata, hanya lebih 8,000 penonton hadir di setiap perlawanan Liga Pro Saudi.

Namun, liga tersebut kini berusaha giat untuk meningkatkan jumlah penontonnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg