LONDON: Penyerang Brentford, Ivan Toney, tidak sepatutnya berpindah ke Arab Saudi semasa sedang berada pada “kemuncaknya”, kata bekas penyerang Liga Perdana England (EPL), Chris Sutton.
Brentford menolak tawaran 35 juta paun ($59.5 juta) bagi pemain berusia 28 tahun itu daripada kelab Liga Pro Saudi, Al-Ahli, minggu lalu.
Toney direhatkan semasa Brentford menewaskan Crystal Palace 2-1 pada 18 Ogos kerana isu perpindahan, tetapi Sutton berkata penyerang England itu harus memilih untuk kekal dalam EPL.
“Pada peringkat kerjayanya ini, saya rasa Saudi tidak sepatutnya menjadi pilihan,” kata Sutton kepada BBC.
“Beliau membuktikan dirinya dalam Liga Perdana dan beliau mempunyai kebolehan. Permainan link up-nya, fizikalnya, kebolehan set-piece (gerak terancang dan dilatih berulang kali) dan permainannya telah berkembang dengan sangat baik.
“Anda boleh miliki semua wang di dunia tetapi Ivan Toney sedang berada pada kemuncaknya dan saya ingin melihat beliau kekal dalam Liga Perdana.
“Saya akan pergi ke Arab Saudi apabila saya sudah mencecah 35 tahun ke atas.”
Toney adalah sebahagian daripada skuad England yang mara ke final Kejohanan Eropah pada musim panas, walaupun terlepas sebahagian besar musim 2023/2024 apabila digantung lapan bulan kerana melanggar peraturan perjudian Persatuan Bola Sepak.
“Ini adalah satu perkara yang sia-sia untuk Ivan Toney,” tambah Sutton.
“Ini tidak bermakna beliau tidak boleh pergi ke Saudi dan kemudian kembali ke Liga Perdana, tetapi mengapa beliau tidak menunggu satu musim lagi dan kemudian berpindah?
“Beliau berumur 28 tahun, kerjaya beliau sedang berkembang sebelum digantung.
“Beliau berada di tempat yang sangat baik pada masa ini selepas kejuaraan Euro.
“Dari sudut pandangan Brentford, dengan harga 50 juta euro anda boleh memahami mengapa mereka akan menjualnya dengan jumlah itu lebih-lebih lagi beliau berbaki setahun dalam kontraknya.”
Bekas pemain tengah England dan Manchester City, Izzy Christiansen, menambah:
“Dari sudut pandangan bola sepak, mengapa tiada pasukan yang mahu menandatangani Toney? Beliau segar, berada di tempat yang baik dan bermain dengan baik di Euro. Mengapa kelab di Liga Perdana tidak melihat Ivan Toney?”
Bercakap pada 18 Ogos, jurulatih Brentford, Thomas Frank, berkata adalah “adil” untuk bertanya mengenai isu pemindahan Toney.
Tetapi beliau menambah bahawa pemergian penyerang itu dari Brentford belum berada pada fasa terakhir. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg