LONDON: Tidak ada banyak perkara yang boleh membuatkan peminat Tottenham Hotspur tersenyum musim ini.
Spurs hanya memenangi satu daripada sembilan perlawanan terakhir mereka dalam Liga Perdana England (EPL), lebih dekat dengan zon penyingkiran daripada lapan tangga teratas dan mempunyai senarai kecederaan panjang yang akan menjejas kebanyakan pasukan.
Tetapi di sebalik semua itu, masih ada peluang musim ini menjadi satu musim istimewa, seperti yang dikatakan beberapa pengamat.
Ia kerana mereka berada dalam tiga pertandingan, dengan kemenangan 3-2 pada 24 Januari (waktu Singapura) di Hoffenheim meletakkan mereka di ambang pusingan kalah mati Liga Europa.
Prestasi EPL mereka yang mengerikan bermakna sukar bagi sembarang peminat Tottenham mengaitkan musim ini dengan perkataan kejayaan.
Namun, Spurs tidak memenangi sebarang trofi sejak 2008, justeru memenangi sebuah trofi akan menjadi sesuatu yang positif.
“Ia boleh menjadi musim luar biasa untuk Tottenham,” kata bekas pemain tengah Manchester United, Owen Hargreaves, di TNT Sports.
“Mereka boleh memenangi beberapa trofi.”
Selain Liga Europa, Tottenham berada dalam Piala FA dan mempunyai kelebihan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama menentang Liverpool pada separuh akhir Piala Carabao.
Kemenangan di Hoffenheim bermakna kemenangan ke atas Elfsborg pada 31 Januari (waktu Singapura) akan menyaksikan Spurs mara ke peringkat kalah mati, lapor BBC Sports.
Mereka juga akan menentang Liverpool dalam Piala Liga Bola Sepak England (EFL) pada 6 Februari sebelum ke Aston Villa dalam pusingan keempat Piala FA tiga hari kemudian.
Mereka juga mempunyai perlawanan liga penting menentang Leicester, Brentford dan Manchester United kerana mereka ingin mengelak jatuh lebih rendah daripada tempat ke-15 mereka dalam Liga Perdana.
“Ia adalah beberapa minggu yang besar untuk kelab itu,” tambah Hargreaves.
“Ia menentukan musim mereka, dengan Piala FA dan perlawanan kedua Piala Liga.”
Bekas penyerang Tottenham, Peter Crouch, berkata: “Mereka berada hanya satu perlawanan daripada perlawanan akhir. Mereka sedang naik. Jika mereka ke final, ini merupakan musim yang baik.”
Tottenham kini antara pasukan pilihan untuk memenangi Liga Europa.
Tanpa kemungkinan berakhir di tangga empat teratas EPL, kejayaan dalam persaingan peringkat kedua Eropah itu adalah cara terbaik untuk mereka mendapat tempat di Liga Juara-Juara musim depan.
“Mereka perlu utamakan Liga Europa sekarang,” tambah Crouch.
“Saya melihat pasukan ini dan mereka mampu menewaskan sembarang pasukan lain.”
Pengurus Ange Postecoglou bersikap positif selepas kemenangan ke atas Hoffenheim dan berkata: “Saya dapat merasakan semua pemain senior benar-benar bangkit. Anda memerlukan pemimpin anda untuk bangkit dan mereka benar-benar melakukannya.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg