Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Musuh lama Australia, England sudah sedia bertembung untuk ke final Piala Dunia

Pasukan Lioness jadi pilihan untuk mara tapi Matildas ada kelebihan bermain di padang sendiri
Aug 15, 2023 | 05:14 PM



SYDNEY: Seteru tradisi England dan Australia bakal bertembung pada Rabu dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia Wanita.


Australia, selaku tuan rumah bersama New Zealand bagi temasya itu, mempunyai kelebihan bermain di padang sendiri, dengan sekitar 80,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Australia.

Ini kali pertama pasukan itu mara hingga ke separuh akhir Piala Dunia.

Awal sebelum itu, mereka menewaskan Perancis melalui sepakan penalti pada Sabtu – perlawanan tersebut antara acara paling ditonton di kaca televisyen Australia dalam hampir 20 tahun.

England, yang juga juara Eropah, pula menyingkirkan Colombia 2-1 pada Sabtu.

Oleh itu, mereka menjadi pasukan pilihan untuk mara ke peringkat akhir temasya kali ini, sungguhpun menghadapi cabaran sengit bermain di padang lawan.

Jurulatih England, Sarina Wiegman, dari Belanda, diberitahu bahawa beliau mungkin tidak faham sepenuhnya betapa besar perlawanan antara Australia dengan England.

“Perlawanan ini dijangka amat besar. Namun, kini saya ada beberapa soalan mengenai perkara ini, jadi ia mungkin lebih besar daripada apa yang saya jangka.

“Saya akan berbincang dengan pemain saya dan lihat apakah (semangat) permusuhan ini,” ujar Wiegman.

Persaingan sengit dalam sukan antara dua negara itu telah beberapa kali dipaparkan tahun ini.

Australia memenangi kedua-dua kejohanan lelaki dan wanita siri kriket Ashes.

Ia juga mengalahkan England pada peringkat akhir Piala Dunia bola jaring.

Kapten bola sepak wanita England, Millie Bright, faham ia sangat bermakna bagi peminat kedua-dua negara.

Beliau berkata kepada media selepas perlawanan menentang Colombia: “Saya rasa ia satu perlawanan yang memang dinanti-nantikan.

“Ini pertandingan terbesar dalam bola sepak wanita setakat ini, jadi saya bangga menjadi sebahagian daripadanya.

“Kami menyertai pertandingan ini bukan untuk bertanding sahaja, kami ingin menyempurnakan tugas kami (menjadi juara) dan kami telah memaparkan semangat itu dengan mentaliti dan perwatakan kami dalam setiap perlawanan.”

Rakan sepasukannya Lauren Hemp tidak sabar untuk perlawanan separuh akhir.

Dengan yakin beliau berkata: “Australia, saya tidak sabar.

“Stadium dijangka penuh dengan ramai penyokong Australia, tetapi kami tahu jika kami bermain dengan terbaik, kami tidak dapat dibendung.”

England sekali lagi akan bermain tanpa tunggak serangannya Lauren James, yang dikenakan kad merah dalam pusingan kalah mati menentang Nigeria.

Tetapi ketiadaannya tidak dirasakan oleh pasukan itu semasa persembahan mereka yang meyakinkan ketika menentang Colombia di hadapan penonton yang bersorak menyokong pasukan Amerika Selatan itu.

Meskipun Australia berada enam tangga di bawah England dalam ranking Fifa, pasukan tuan rumah itu sedang didorong gelombang semangat dan sokongan.

Mereka telah memanfaatkan sokongan itu untuk mengangkat mereka pada saat-saat sukar dan akan bergantung kepada sokongan tersebut di Stadium Australia kelak.

Lebih-lebih lagi mereka menewaskan England 2-0 di padang lawan pada April dalam satu perlawanan persahabatan, sekali gus memecahkan rekod tanpa kalah pasukan Lioness itu dalam 30 perlawanan.

Di samping itu, penyerang dan kapten pasukan, Sam Kerr, sudah pulih daripada kecederaan betis dan dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama Australia.

Jurulatih Australia, Tony Gustavsson, berkata: “Yang baiknya ialah kami ada kesinambungan dalam apa yang kami lakukan.

“Kami ada gaya permainan yang jelas, jadi kami tidak perlu berlatih untuk membuat persiapan secara taktikal.

“Ia lebih kepada memastikan kami bersedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan separuh akhir.”

Naib kapten, Steph Catley berkata pasukan Australia “sudah bersedia untuk saat ini” dan menambah bahawa gabungan pemain veteran dan muda memberi keseimbangan yang diperlukan

“Kami mempunyai keyakinan dan bakat mereka (pemain muda), dan kemudian kami ada (pemain) matang yang membawa pemahaman pada saat-saat seperti itu,” ujarnya. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >