AUCKLAND: Melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan utama bukannya sesuatu yang baru untuk Sweden.
Persoalan utama dalam minda peminat mereka yang kelihatan gembira ketika lagu Abba dimainkan daripada pembesar suara di Eden Park pada Jumaat adalah: Adakah mereka akan menjulang trofi Piala Dunia Wanita kali ini?
Kemenangan 2-1 yang mengagumkan ke atas pasukan yang digemari ramai, Jepun, membawa Sweden ke peringkat separuh akhir Piala Dunia Wanita menentang Sepanyol di Auckland pada Selasa.
Hebatnya, ia adalah separuh akhir kejohanan utama keempat yang mereka capai dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Selepas mara ke kelompok empat pasukan terakhir di Perancis pada Piala Dunia 2019, yang menyaksikan mereka tewas kepada Belanda, Sweden juga berjaya ke separuh akhir Sukan Olimpik 2020 dan Euro 2022.
Walaupun dapat melangkah jauh dalam kejohanan tersebut dan ke final Sukan Olimpik, apabila mereka kecundang di tangan Canada menerusi sepakan penalti, mereka pulang dengan tangan kosong. Tiada cenderahati untuk ditunjukkan.
Adakah persembahan hebat dalam Piala Dunia akan berakhir dengan mereka merangkul trofi kejuaraan itu di Sydney pada 20 Ogos kelak?
“Persembahan menentang Jepun daripada separuh masa pertama sehingga 15 minit terakhir atau lebih, itulah yang terbaik yang saya lihat Sweden bermain,” kata bekas pemain pertahanan England Gilly Flaherty kepada BBC 5 Sports Extra.
Keputusan terbaik Sweden dalam Piala Dunia adalah pada 2003, apabila mereka tewas kepada Jerman dalam final.
Bagaimanapun, kali ini mereka menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian itu.
Negara seperti Sepanyol dan England mungkin dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan, tetapi Sweden tidak boleh dipandang remeh.
“Jelas sekali kami tidak berpuas hati dengan hanya tempat di separuh akhir. Kami ingin sampai ke final,” kata kapten pasukan itu, Kosovare Asllani, selepas pasukan nombor tiga dunia itu melanjutkan kemenangan mereka ke atas juara dunia empat kali Amerika Syarikat dan kemudian mengalahkan Jepun.
“Saya benar-benar yakin dengan pasukan saya dan kami lebih daripada bersedia untuk (perlawanan pada) Selasa.”
Penyingkiran ke atas juara 2011 Jepun, yang mengikuti jejak langkah Amerika, Jerman dan Norway, bermakna tiada bekas juara yang tinggal dan nama baru akan ditulis pada trofi selepas final di Sydney.
Adakah trofi akan menjadi milik Sweden?
“Saya fikir mereka memiliki harapan yang lebih tinggi dalam Euro musim panas lalu dan mereka menyertai kejohanan ini tanpa siapa yang menganggap mereka sebagai antara pasukan pilihan untuk menjadi juara,” kata bekas pemain midfield England, Fara Williams kepada BBC One.
“Mereka menumpaskan pasukan Jepun yang amat mantap dan boleh menyesuaikan diri dengan penuh gaya.”
Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, pengurus Sweden Peter Gerhardsson berkata bahawa pemainnya bak “lebah” kerana mereka berada di seluruh padang untuk memberi tekanan kepada lawan.
“Pemain sebelum ini berkata mereka mahu menjadi seperti lebah,” kata beliau sebelum membuat bunyi berdengung dan melambai-lambaikan tangannya untuk menunjukkan seekor lebah sedang terbang.
“Mereka bercakap mengenai perkara ini. Saya tidak tahu sama ada kami mempunyai sesuatu untuk dibuktikan, tetapi sebagai jurulatih dan sebagai pemain, anda tidak pernah selesai.
“Anda perlu membuktikan sesuatu sepanjang masa. Ia mengujakan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg