PARIS: Pemain tenis, Novak Djokovic, mengumumkan pada 23 Oktober bahawa beliau menarik diri daripada Paris Masters – kejohanan yang sudah tujuh kali dijuarainya – dalam satu langkah yang kelihatan menandakan berakhirnya musim ‘roller coaster’ bagi dirinya.
“Malangnya, saya tidak akan bermain di Paris Masters tahun ini (2024),” tulis Djokovic, 37 tahun, di Instagram.
“Saya mempunyai banyak kenangan indah, memenangi tujuh gelaran dan saya harap dapat kembali bersama anda tahun depan (2025). Maaf kepada semua yang berharap melihat saya di sana.”
Djokovic, yang merupakan juara bertahan di Paris, telah memenangi rekod 40 gelaran Masters dalam kerjayanya serta 24 gelaran Grand Slam.
Pada musim 2024 beliau telah merebut satu lagi gelaran – pingat emas Olimpik di Paris – pada Ogos dan beliau kini memiliki 99 trofi sepanjang kerjaya.
Musim ini, kedudukan beliau sebagai raja Grand Slam telah digulingkan oleh pemain Italy, Jannik Sinner dan pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz.
Sinner merebut gelaran Terbuka Australia dan Amerika Syarikat serta merampas kedudukan nombor satu dunia daripada Djokovic.
Alcaraz meraih kemenangan ke atas Djokovic dalam final Wimbledon selepas muncul juara dalam Terbuka Perancis.
Namun Djokovic berjaya membalas dendam dengan meraih kemenangan ke atas Alcaraz dalam final Olimpik.
Buat kali pertama sejak 2017, Djokovic akan menamatkan musim tanpa gelaran Grand Slam.
Djokovic masih bersaing untuk layak ke Final Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) lelaki akhir musim di Turin, Italy pada November.
Beliau kini berada di tempat keenam dalam perlumbaan untuk lapan pemain dalam acara utama.
Paris Masters 2024 akan berlangsung dari 28 Oktober hingga 3 November.
Djokovic baru-baru ini melihat saingan lama beliau Rafael Nadal, 38 tahun, mengumumkan niatnya untuk bersara daripada tenis selepas Final Piala Davis di Malaga pada November.
Namun pemain asal Serbia menegaskan beliau tiada niat untuk mengikuti langkah Nadal.
Ini walaupun Djokovic alami “salah satu musim terburuk dari segi keputusan yang diraihnya”.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, saya hanya akan cuba berusaha mengikut arus untuk melihat bagaimana perasaan saya pada masa tertentu tetapi saya masih merancang untuk bersaing dan bermain pada musim depan,” kata Djokovic.
Beliau berkata demikian selepas kalah di tangan Sinner dalam final Shanghai Masters baru-baru ini.
Kekalahan itu adalah yang ketiga dalam empat pertembungan terakhir beliau menentang pemain Italy itu.
Djokovic juga berkata beliau tidak didorong menyertai pemain Amerika, Jimmy Connors dan pemain Switzerland, Roger Federer, sebagai satu-satunya pemain lelaki yang memenangi 100 gelaran.
“Ia bukan matlamat hidup atau mati bagi saya. Saya fikir saya telah mencapai semua matlamat terbesar saya dalam kerjaya saya.
“Sekarang ini ia benar-benar tentang Slam dan saya masih mahu melihat sejauh mana saya boleh melewati batasan untuk diri saya sendiri,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg