Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib presiden Majlis Paralimpik Kebangsaan S’pura, perenang pimpin kontinjen ke Sukan Para Asia

Sep 9, 2023 | 7:43 PM
KIBAR TINGGI: (Dari kiri) Naib presiden Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC), Cik Monique Heah; perenang para Singapura, Wong Zhi Wei; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua; dan presiden SNPC, Dr Teo-Koh Sock Miang di majlis persembahan bendera bagi Sukan Para Asia Hangzhou 2022, yang diadakan di Hab Sukan Singapura pada Sabtu pagi.
KIBAR TINGGI: (Dari kiri) Naib presiden Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC), Cik Monique Heah; perenang para Singapura, Wong Zhi Wei; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua; dan presiden SNPC, Dr Teo-Koh Sock Miang di majlis persembahan bendera bagi Sukan Para Asia Hangzhou 2022, yang diadakan di Hab Sukan Singapura pada Sabtu pagi. - Foto SNPC

Naib presiden Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC), Cik Monique Heah telah dilantik sebagai chef-de-mission atau ketua kontinjen Singapura dalam Sukan Para Asia Hangzhou pada Oktober, manakala perenang para negara Wong Zhi Wei akan menjadi pembawa bendera negara di temasya sukan itu.

Kedua-dua mereka akan membimbing Team Singapore di majlis pembukaan Sukan Para Asia 2022, yang berlangsung mulai 22 hingga 28 Oktober di Hangzhou, China, kata SNPC dalam kenyataannya pada Sabtu.

Pelantikan mereka telah diumumkan dalam satu majlis persembahan bendera bagi edisi keempat temasya sukan para itu, yang diadakan di Hab Sukan Singapura pada Sabtu pagi.

Turut hadir pada acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua.

Cik Heah, 57 tahun, telah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa di Persekutuan Ekuestrian Singapura sejak 16 tahun lalu, dan kini menjadi setiausaha agungnya.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai temasya sukan utama dengan peranan yang berbeza.

“Ini kali pertama saya mengetuai kontinjen untuk temasya ini dan saya amat berbesar hati.

“Saya akan ke Sukan Asia sebagai Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO), tetapi saya lebih teruja untuk menjadi chef- de-mission untuk Team Singapore di Sukan Para Asia. Saya yakin dengan kerja keras, keazaman dan ketabahan mereka, atlet para kita akan membanggakan negara kita, dan saya mengucapkan selamat maju jaya untuk mereka,” kata Cik Heah.

Encik Wong, 20 tahun, pula terharu kerana sekali lagi dipilih untuk membawa bendera Singapura di temasya sukan utama.

“Kali pertama saya menjadi pembawa bendera adalah pada 2017 untuk Sukan Para Belia Asia di Dubai. Saya berbesar hati kerana dipilih sekali lagi untuk mengulangi peranan ini di Sukan Para Asia Hangzhou, dan saya sentiasa berterima kasih kerana saya dapat mengibarkan tinggi bendera negara kita di salah satu temasya sukan utama yang berprestij,” kata mahasiswa psikologi di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

Encik Wong, yang cacat penglihatan, telah menang lima pingat – satu emas, dua perak dan dua gangsa – dalam Sukan Para Asean 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Jun.

Ini adalah penampilan kedua Encik Wong di Sukan Para Asia, selepas membuat penampilan sulungnya pada edisi 2018 di Jakarta.

Singapura akan diwakili 33 atlet dalam sembilan sukan di Sukan Para Asia Hangzhou 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg