PARIS: Naomi Osaka membawa pakaian gantian yang polos sekiranya pegawai rasmi perlawanan tenis, Terbuka Perancis, membantah gaun berkilauan kuning-coklat keemasan yang digayakannya ketika menentang pemain Jerman, Laura Siegemund, pada 26 Mei.

Mujurlah, segalanya berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

Bintang tenis Jepun itu ternyata berjaya meningkatkan taraf fesyen di Paris pada hari ketiga Grand Slam apabila beliau berjalan ke Gelanggang Suzanne Lenglen dengan skirt hitam Kevin Germanier, sebelum mendedahkan gaun perlawanan Nike berlapis kuning-coklat keemasan itu.

“Apabila saya kali pertama melihat gaun perlawanan itu dalam kehidupan sebenar, saya rasa saya kelihatan seperti Menara Eiffel pada waktu malam, ketika cuaca cerah!” kata Osaka kepada pemberita, sejurus menewaskan Siegemund, 38 tahun, 6-3, 7-6 (7-3).

“Saya sebenarnya agak risau, kerana apabila sinaran mentari terkena gaun itu, ia banyak memantulkan cahaya. Jadi saya agak takut pengadil akan menghalau saya keluar daripada gelanggang.

“Jadi saya telah mendapatkan dua gaun Nike biasa... syukurlah saya tidak perlu memakainya. Saya fikir pantulan gaun itu sangat cantik, tetapi ia sedikit sebanyak mengingatkan saya pada Menara Eiffel,” jelasnya seraya tertawa.

Osaka, 28 tahun, yang menarik perhatian dengan pakaian yang diinspirasikan oleh obor-obor di Terbuka Australia tahun ini (2026), juga berkata beliau teruja apabila disebut-sebut sebagai ikon gaya fesyen setiap kali meronda dunia dalam perlawanan jelajah kategori wanita sejak kebelakangan ini.

“Saya sudah biasa dengan gelaran ikon fesyen itu sekarang. Saya rasa di Australia ... gaun rekaan usahawan fesyen, Yoon (Ahn) Ambush, membuka ruang untuk saya kelihatan anggun pada perlawanan 2024 itu.

“Pada acara Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu (2025), bunga mawar disisipkan pada rambut saya pula. Dari pengalaman itu, saya terus suka bergaya di gelanggang tenis.

“Pada tahun ini (2026) di Australia pula, saya menjadi buah mulut orang. Saya tidak rasa ia satu perkara besar untuk tampak bergaya di gelanggang tenis dan kemudian beraksi dengan gigih.

“Saya lebih terasa sedikit tertekan dan saya fikir itulah masalahnya.

“Kadang-kadang ada orang mengatakan seorang atlet biasanya terjebak dalam dunia persembahan atau jadi penghibur secara tidak langsung.

“Bagi saya, penglibatan dalam kejohanan terbesar Grand Slam adalah satu-satunya masa saya mungkin rasa diri saya bak seorang penghibur,” katanya.

Namun, Osaka bukan yang pertama, dan beliau juga mungkin bukan satu-satunya bintang tenis yang dinobatkan sebagai ikon fesyen dalam masa terdekat.

Menurut beliau, potensi kembalinya ikon gaya fesyen dan juara Grand Slam sebanyak 23 kali, Serena Williams, 44 tahun, ke arena pertandingan antarabangsa adalah sesuatu yang membuat ramai teruja.

“Saya juga teruja untuk melihat beliau bermain dan meninjau pakaiannya yang ranggi sekali lagi,” kata Osaka.

Pemain Jepun itu seterusnya akan menentang Donna Vekic, 29 tahun, dari Croatia pada pusingan seterusnya. – Reuters.