NEW YORK: Naomi Osaka mempamerkan aksi cemerlang apabila menumbangkan pilihan ketiga, Coco Gauff, 6-3, 6-2 dalam pertembungan pusingan keempat yang dinanti-nantikan antara dua bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu pada 1 September.
Osaka, juara Grand Slam empat kali, mempamerkan ketangkasan lamanya ketika mengawal perlawanan dari awal, manakala juara 2023 Gauff bergelut dengan pukulan depan dan servisnya.
Keputusan tersebut akan membawa Osaka ke suku akhir pertandingan di Flushing Meadows buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.
Beliau akan menentang sama ada pilihan ke-11 dari Czech, Karolina Muchova, atau pilihan ke-27, Marta Kostyuk dari Ukraine, dalam pusingan seterusnya.
“Ia benar-benar istimewa. Saya sangat menyanjungnya, cara beliau membawa diri di gelanggang benar-benar istimewa. Untuk menjadi contoh teladan pada usia yang begitu muda, saya menghormatinya,” kata Osaka, yang pernah menang di New York pada 2018 dan 2020, merujuk kepada Gauff.
Perlawanan pada 1 September itu menandakan kali pertama kedua-dua pemain kegemaran ramai itu bertemu di New York sejak pertarungan sengit mereka yang tidak dapat dilupakan pada 2019 apabila Gauff, yang ketika itu berusia 15 tahun, tewas di tangan Osaka.
Peminat yang terus berbual sepanjang perlawanan awal terdiam ketika kedua-duanya memulakan pertarungan mereka, dengan Osaka mematahkan hantaran Gauff dari garis belakang dalam set pertama yang hebat.
Gauff telah menghabiskan beberapa bulan cuba mengukuhkan semula servisnya, tetapi dikecewakan sekali lagi apabila beliau berkali-kali melakukan kesilapan.
Kesilapan mula bertimbun untuk pemain Amerika itu, yang sekali gus memberikan Osaka satu lagi mata, termasuk akibat kesilapan dalam permainan keenam pada set kedua.
Gauff, yang berpaling tanpa daya ke kotak gelanggang semasa perlawanan terakhir, hanya mampu memberitahu jurulatihnya: “Tidak ada apa-apa yang menjadi.”
Pasangan itu berpelukan seketika di jaring pada akhir perlawanan, dengan Osaka hanya mengukir senyuman.
“Saya agak sensitif. Saya tidak mahu menangis. Saya sangat seronok di sini,” kata Osaka, yang telah menemui semula prestasi terbaiknya tahun ini (2025) dengan melangkah ke final pertandingan di Montreal. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg