NEW YORK: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka, kembali menampilkan prestasi seperti zaman kejuaraannya pada 26 Ogos, apabila beliau menewaskan pemain Belgium, Greet Minnen, 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat di Flushing Meadows.
Kemenangan tersebut tampak begitu mudah bagi Osaka, juara dua kali Terbuka Amerika.
Beliau mencatat tujuh pukulan ace yang kuat dan deras, dan berjaya memanfaatkan kesemua enam peluang untuk mematahkan servis lawan.
Minnen, yang menduduki tempat ke-106 dunia, menunjukkan tentangan hebat dengan mendahului 4-3 pada set kedua, namun akhirnya tewas kepada Osaka yang kembali menguasai permainan.
Beliau melakukan 30 kesilapan, dan hanya berjaya menyempurnakan 49 peratus daripada servis pertamanya, menunjukkan beliau tertekan oleh pukulan bertubi-tubi Osaka dari garis belakang gelanggang.
Osaka, 27 tahun, yang kini mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu sambil membina semula kerjayanya dalam sukan tenis selepas cuti bersalin, menamatkan perlawanan tersebut dengan 20 pukulan yang memenangi mata, berbanding 24 kesilapan sendiri.
Prestasinya semakin mantap selepas beliau mara ke perlawanan akhir Terbuka Canada pada awal Ogos, dan keyakinannya terserlah dalam setiap pukulannya, lapor The Straits Times (ST).
Osaka dijangka berentap dengan pemain Amerika, Hailey Baptiste, pada perlawanan seterusnya, namun beliau menetapkan matlamat yang jauh lebih tinggi.
Beliau bercita-cita menjadi ibu pertama yang memenangi kejuaraan perseorangan Grand Slam, sejak Kim Clijsters menjuarai Terbuka Australia di Melbourne pada 2011.
Persembahannya yang tenang dan mantap pada 26 Ogos memberi harapan bahawa impian tersebut mungkin menjadi satu kenyataan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg