CINCINNATI (Amerika Syarikat): Naomi Osaka berkata beliau masih tidak berasa seperti dirinya sendiri ketika di gelanggang, lapan bulan selepas kemunculan semulanya berikutan cuti bersalin.
Juara Grand Slam empat kali itu hairan dengan kekurangan kuasa dan ketepatannya kini, lapor The Straits Times, memetik agensi Reuters.
Warga Jepun itu ditewaskan warga Amerika, Ashlyn Krueger, dalam pusingan kedua kelayakan ke Terbuka Cincinnati pada 12 Ogos, kemunduran terbaru dalam prestasi yang tidak menentu menuju ke Grand Slam terakhir tahun ini di Terbuka Amerika dari 26 Ogos hingga 8 September.
“Isu terbesar saya pada masa ini bukanlah kekalahan, isu terbesar saya ialah saya tidak berasa seperti saya berada di dalam badan saya,” tulis pemain berusia 26 tahun itu di Instagram sehari selepas kekalahannya itu.
“Rasanya pelik, apabila saya terlepas bola, pukulan saya tidak setangkas dahulu. Saya cuba beritahu diri saya sendiri, ‘Tidak mengapa, anda melakukannya dengan hebat. Tahan sahaja dan teruskan usaha’, secara mental ia benar-benar meletihkan.
“Di dalam, saya mendengar diri saya menjerit, ‘Apa yang berlaku?!?!’”
Osaka kembali beraksi pada Januari selepas berehat selama 15 bulan bagi kelahiran anak perempuannya.
Kini menduduki tempat ke-90 di dunia, keputusan terbaiknya adalah kemaraannya ke suku akhir di Doha dan di ‘s-Hertogenbosch, Belanda.
Beliau nampaknya telah menemui prestasi di Terbuka Perancis pada Mei, apabila beliau mengheret pemain nombor satu dunia dan akhirnya pemenang, Iga Swiatek, ke tiga set pada pusingan kedua tetapi Naomi tewas akhirnya.
Walaupun kalah, Naomi boleh dikatakan pemain yang lebih dominan dan Swiatek malah menangis selepas kemenangan itu.
“Saya telah bermain beberapa perlawanan tahun ini yang saya rasa seperti diri saya sendiri, dan saya tahu saat ini mungkin hanya fasa kecil daripada semua peralihan baru (gelanggang tanah liat, rumput, tanah liat, keras), namun satu-satunya perasaan yang saya dapat samakan perasaan saya sekarang seperti selepas bersalin,” tambah Naomi.
“Itu menakutkan saya kerana saya telah bermain tenis sejak saya berumur tiga tahun, dan raket itu sepatutnya terasa seperti lanjutan tangan saya.”
Acara seterusnya ialah di Flushing Meadows, tempat beliau menang pada 2018 dan 2020, tetapi beliau berkata beliau tidak faham mengapa segala-galanya tentang permainannya terasa “hampir serba baru” semula.
“Ini sepatutnya semudah bernafas kepada saya, tetapi tidak,” tambah warga Jepun itu, yang pernah mendedahkan isu kesihatan mentalnya pada masa lalu.
Mengakhiri catatan panjangnya di Instagram, beliau berkata:
“Tiada apa-apa dalam hidup yang dijanjikan, tetapi saya sedar bahawa saya boleh berjanji pada diri sendiri untuk bekerja sekeras mungkin dan memberikan yang terbaik sehingga ke penghujung. Jumpa anda di New York.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg