LONDON: Dalam dunia bola sepak, ada pendapat berkata menang piala mengukuhkan kedudukan pengurus sesebuah kelab itu.
Namun pernah juga beberapa pengurus dari kelab-kelab bertaraf dunia yang dipecat sejurus pasukan mereka menjulang piala.
Memang dianggap aneh, namun dalam dunia hari ini pendekatan yang menumpukan kepada kemenangan tidak menandakan pengurus akan kekal lama dalam sesebuah kelab itu.
Seperti yang pernah dialami lima pengurus kelab ini, yang dipecat selepas kelab mereka memenangi piala.
Ramai yang pasti ingat tentang kehadiran Van Gaal selaku pengurus pasukan Manchester United (2014 hingga 2016).
Beliau menggantikan David Moyes selaku pengurus United pada 19 Mei 2014 dan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun.
Pada 21 Mei 2016, Van Gaal menang satu-satunya trofi bersama United, Piala FA, selepas pasukannya menundukkan Crystal Palace 2-1 selepas masa tambahan.
Namun dua hari kemudian, Van Gaal dipecat kelab tersebut.
Sejurus beliau mula menguruskan Juventus selepas meninggalkan Chelsea pada 2019, keadaan kelihatan agak positif buat Sarri.
Skuad bimbingannya itu cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkannya.
Meskipun menghadapi sedikit kesulitan pada awalnya, namun Juventus tetap menjulang Liga Serie A – kemenangan kesembilan buat pasukan itu.
Ia dicapai pada 26 Julai 2020 selepas pasukan itu menundukkan Sampdoria 2-0 di padang sendiri.
Keputusan itu menyaksikan Sarri menjulang trofi pertamanya dalam bola sepak Italy, dan juga menjadi pengurus tertua yang menang Serie A pada usia 61 tahun, 198 hari.
Namun pada 8 Ogos 2020, beliau dipecat kelab tersebut.
Conte telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama Chelsea dan sepatutnya berkhidmat hingga 2019.
Chelsea berjaya menjulang Liga Perdana England (EPL) bagi musim 2016 hingga 2017 dengan baki dua lagi permainan.
Pada 18 Julai 2017, Conte menantangani kontrak baru selama dua tahun bersama Chelsea.
Pada 19 Mei 2018, Conte memimpin Chelsea semasa pasukan itu menundukkan Manchester United 1-0 dalam final Piala FA.
Pada musim itu juga, Chelsea menduduki tangga kelima, lantas terlepas peluang ke Liga Juara-Juara.
Pada 13 Julai 2018, Conte dipecat dan digantikan oleh Maurizio Sarri.
Del Bosque merupakan pemain lagenda Real Madrid, dan kemudian menjadi pengurus tetap pasukan itu selepas menggantikan John Toshack pada 1999.
Beliau kemudian memimpin kelab itu dalam salah satu era paling berjaya buat kelab itu semasa awal 2000-an.
Bersama Real Madrid, Del Bosque menjulang Liga Juara-Juara pada 2000 dan 2002, kejuaraan La Liga pada 2001 dan 2003, selain beberapa piala lain.
Ini sedang beliau memimpin sebuah pasukan yang dibarisi ramai pemain bintang dan penuh dengan tekanan.
Anehnya, kelab tersebut tidak menyambung kontraknya yang berakhir pada 2003, sehari selepas beliau menjulang piala La Liga dan seminggu selepas pasukan itu mendapatkan khidmat David Beckham dari Manchester United.
Dalam tahun-tahun berikutnya, Real tidak mampu bertahan di persada La Liga dan gagal menang sebarang kejuaraan sehingga 2007.
Selepas dipecat menyusuli kemenangan kejuaraan La Liga bersama Real Madrid pada 1997, Capello diambil semula untuk memimpin pasukan kelab gergasi Sepanyol itu 10 tahun kemudian (2006 hingga 2007).
Tapi sekali lagi ia merupakan jalinan sementara antara kelab itu dengan beliau, dan para penyokongnya tidak setuju dengan corak defensif yang diterapkan dalam pasukan itu.
Beliau berjaya kembalikan piala La Liga ke gelanggang Real pada 2007, tapi pada masa yang sama timbul desas-desus yang beliau bermusuh dengan beberapa pemain selain para peminat sendiri.
Pada 28 Jun 2007, Capello dipecat kelab tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg