Topik diikuti
Pergi ke BHkuNazri Nasir kembali ke Tampines Rovers
Nazri Nasir kembali ke Tampines Rovers
Pelantikan sebagai jurulatih bukan sekadar jawatan baharu, malah jadi penutup kepada tempoh penuh tanda tanya mengenai masa depan bekas kapten
Nazri Nasir kembali ke Tampines Rovers
Legenda bola sepak Singapura, Nazri Nasir, pulang ke Singapura dengan harapan dapat meneruskan kerjaya jurulatihnya selepas hampir 10 bulan menimba pengalaman di Jepun.
Apa yang dirancang tidak menjadi.
Namun pada 2 Julai, segala kekecewaan itu berlalu apabila bekas kapten Tampines Rovers itu diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut – peluang yang disifatkannya sebagai “tepat pada masanya” dan bukti bahawa “rezeki tidak salah alamat”.
“Awalnya saya rasa sedikit kecewa. Tetapi saya fikir, mungkin saya hanya perlu tunggu masa yang sesuai. Insya-Allah perkara yang baik akan datang kemudian. Ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.
Bagi Nazri, pelantikan itu bukan sekadar jawatan baharu, malah menjadi penutup kepada satu tempoh yang penuh dengan tanda tanya mengenai masa depannya dalam bidang kejurulatihan.
Selepas hampir 14 tahun bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), beliau diberi peluang menyertai program pertukaran jurulatih ke Jepun bersama kelab Liga J2, Ventforet Kofu.
Di sana, beliau bukan sekadar memerhati daripada tepi padang, malah menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih pasukan utama, pengalaman yang disifatkannya cukup berharga dalam membentuk dirinya sebagai jurulatih.
Namun, sebaik pulang ke Singapura, beliau mendapati landskap sudah berubah.
Kontraknya bersama FAS telah tamat ketika beliau berada di Jepun, meninggalkan beliau mencari peluang untuk memanfaatkan pengalaman luasnya.
Tanpa jawatan tetap menantinya, Nazri tidak memilih untuk berdiam diri.
Beliau secara terbuka memuat naik profil dan pengalaman kejurulatihannya di LinkedIn serta menghubungi kenalan dalam industri bola sepak bagi mencari peluang baharu.
“Apabila saya balik, saya letakkan diri saya sebagai jurulatih yang sedia menerima sebarang peluang. Saya juga cuba berhubung dengan beberapa orang untuk melihat jika ada kekosongan,” ceritanya.
Apabila Tampines menghubunginya, Nazri berkata beliau langsung tidak mengambil masa untuk berfikir.
“Apabila tawaran ini datang, saya langsung tidak ragu-ragu. Saya tahu inilah masanya. Saya sudah bersedia untuk mengambil alih pasukan profesional,” katanya.
Jika kerjayanya sebagai pemain dipenuhi trofi dan pengiktirafan, perjalanan Nazri sebagai jurulatih pula jauh berbeza.
Beliau terpaksa membina semula namanya daripada bawah, menggalas pelbagai peranan dalam pembangunan bola sepak negara sebelum akhirnya diberi peluang pertama mengendalikan sebuah kelab Liga Perdana Singapura (SPL) – Tampines Rovers.
Sebagai pemain, Nazri merupakan antara nama terbesar dalam sejarah bola sepak Singapura.
Beliau mengumpul 104 penampilan antarabangsa, mengetuai skuad negara dari 1997 hingga 2003 dan mencipta sejarah apabila mengetuai Singapura menjadi juara Piala Tiger (kini dikenali sebagai AFF) 1998, gelaran antarabangsa utama yang pertama negara ini.
Di peringkat kelab pula, beliau memenangi Piala Malaysia 1994 bersama Singapura, lima kejuaraan Liga-S (kini dikenali sebagai SPL) serta tiga Piala Singapura.
Namun, apabila menggantung but, segala pencapaian itu tidak menjamin laluan mudah sebagai jurulatih.
Beliau bermula sebagai pengurus besar Tampines Rovers sebelum beralih sepenuhnya kepada bidang jurulatih.
Sepanjang kerjaya kejurulatihannya, beliau pernah membimbing pemain daripada skuad bawah 13 tahun hingga bawah 23 tahun, mengendalikan Young Lions, menjadi penolong jurulatih skuad nasional serta pernah memangku tugas ketua jurulatih Singapura.
Dalam tempoh itu juga, beliau melalui cabaran yang jauh lebih besar daripada keputusan di atas padang.
Pada 2020, Nazri mengalami serangan angin ahmar ringan selepas menjalani satu prosedur perubatan.
Beliau bagaimanapun pulih dan kembali menjalankan tugas jurulatih mengatasi satu episod yang menguji ketahanan fizikal serta mentalnya.
Kini, Nazri menganggap menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Tampines sebagai ‘kepulangan’ ke kelab asalnya.
Beliau ingin mengembalikan mentaliti yang menjadikan Tampines sebuah pasukan yang digeruni.
“Dahulu, kami benci untuk kalah. Semua pemain saling mendorong antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.
Beliau dapati masih banyak ruang yang boleh diperbaiki walaupun Tampines menamatkan musim lalu di tangga kedua SPL dan berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL Two).
Menurutnya, pasukan itu mempunyai penguasaan bola yang baik tetapi perlu menjadi lebih pantas, lebih agresif dan lebih berani ketika melakukan transisi serta melancarkan serangan.
“Kami mahu bermain bola sepak yang cantik, tetapi pada masa sama agresif dan menghiburkan,” katanya.
“Apabila menyerang, kami perlu melihat ke hadapan dengan lebih pantas. Apabila kehilangan bola, kami perlu memenanginya semula secepat mungkin,” katanya.
Pengalaman di Jepun turut membuka matanya tentang standard yang perlu dicapai jika mahu berjaya.
Beliau kagum dengan disiplin pemain, intensiti latihan serta budaya untuk sentiasa memperbaiki kelemahan sendiri di sana, sesuatu yang mahu diterapkannya di Tampines.
“Saya mahu pemain saya ada karakter, disiplin dan komitmen yang tinggi. Apa yang kita lakukan dalam latihan akan diterjemahkan ketika perlawanan,” ujarnya.
Melihat kembali beberapa bulan lalu, Nazri mengakui beliau tidak pernah menyangka tempoh yang bermula dengan kekecewaan akhirnya membawanya kembali ke kelab yang paling dekat di hatinya.
Namun, baginya, setiap perjalanan mempunyai hikmah.
Beliau mungkin tidak mendapat peluang yang disangkakan selepas pulang dari Jepun.
Sebaliknya, beliau memperoleh sesuatu yang mungkin lebih bermakna – peluang memimpin kelab yang pernah diangkatnya sebagai pemain, dan kini diharap mampu dibawanya kembali menjulang kejuaraan sebagai ketua jurulatih.
