Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nazri raih emas pertama S’pura dalam arena Gelanggang

Oct 24, 2023 | 3:45 PM
UKIR SEJARAH: Nazri Sutari mengalahkan petinju Montenegro, Vukcevic Iljia, untuk memenangi emas pertama beliau dan Singapura dalam Tinju Tendang Gelanggang.
UKIR SEJARAH: Nazri Sutari mengalahkan petinju Montenegro, Vukcevic Iljia, untuk memenangi emas pertama beliau dan Singapura dalam Tinju Tendang Gelanggang. - Foto PERSEKUTUAN TINJU TENDANG SINGAPURA

Setahun selepas meraih pingat gangsa, atlet tinju tendang Singapura, Nazri Sutari, mengatasi pencapaiannya itu dengan memenangi pingat emas dalam Terbuka Balkan di Tesanj, Bosnia & Herzegovina.

Selepas empat tahun berlatih, Nazri mencapai impiannya merangkul pingat emas dalam disiplin low kick (tendang rendah) tinju tendang Gelanggang (Ring).

Ia pingat emas pertama Singapura dalam pertandingan tinju tendang Gelanggang Persatuan Pertubuhan Tinju Tendang Dunia (Wako), menurut Persekutuan Tinju Tendang Singapura (KFS) dalam satu kenyataan.

Sukan tinju tendang mempunyai tujuh disiplin di bawah dua arena, Gelanggang dan Tatami.

Arena Tatami terdiri daripada disiplin, Point Fighting, Kick Light, Light Contact dan Musical Forms, manakala arena Gelanggang merangkumi disiplin, Low Kick; Full Contact dan K1 Style.

Terbuka Balkan adalah salah satu pertandingan tinju tendang terbesar di rantau Balkan.

Pertandingan dari 20 hingga 22 Oktober itu menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah penyertaan, dengan hampir 500 atlet bersaing.

Nazri mengalahkan petinju Montenegro, Vukcevic Iljia, untuk memenangi pingat emas.

Beliau mendahului dengan kelebihan mata meyakinkan dalam pusingan pertama, tetapi ketinggalan mata pada pusingan kedua.

“Semasa pusingan akhir, saya keletihan. Saya tahu saya kalah pada permulaan pusingan ketiga... Saya sebenarnya berfikir, ini dia... saya telah kalah.

“Kemudian saya teringat final saya dalam Piala Antarabangsa Flanders sebulan lalu. Situasinya sama, iaitu saya berada di belakang dengan margin yang tipis, dan saya terus berjuang hingga ke penghujung untuk memastikan kemenangan.

“Pada pusingan terakhir di Balkan, saya sangat gembira apabila pengadil mengangkat tangan saya sebagai pemenang.

“Memenangi emas pertama Singapura dalam Gelanggang adalah satu pencapaian yang saya hargai,” ujar Nazri.

Memuji pencapaian Nazri, presiden KFS, Jason Lim, menekankan ketabahan dan ketekunan yang ditunjukkan petinju itu.

“Ini adalah pertandingan antarabangsa ketujuhnya di Gelanggang dan beliau akhirnya meraih emas pertamanya,” kata beliau.

Jurulatih Aleksandar Topic pula berkata: “Dalam sukan tinju tendang, sentiasa ada kemungkinan untuk menang tidak kira apa markahnya.

“Anda boleh menang dengan kalah mati teknikal dengan hanya satu pukulan hebat.”

Nazri akan meneruskan latihan dan persiapannya di Serbia sebelum berangkat ke Portugal pada 17 November untuk pertandingan Kejohanan Dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg