‘Auntie Ng’ seorang nenek berusia 83 tahun yang bertutur dalam bahasa Teochew dan mempunyai lima cucu.
Beliau sangat gemar menjamu selera, menghabiskan masa bersama keluarga dan juga menonton perlawanan bola sepak.
‘Auntie Ng’ atau nama sebenarnya, Ng Song King, sanggup turun padang untuk menyorak pasukan kegemarannya, Lion City Sailors, beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL), bersama peminat setia Sailors yang lain, lapor The Straits Times.
Beliau akan ditemani cucu-cucunya.
Minat ‘Auntie Ng’ terhadap pasukan Sailors juga telah membawanya sehingga ke luar negara.
Pada 13 Februari, ‘Auntie Ng’ bersama dua cucunya, Quek Han Yew, 24 tahun, dan Quek Han Wee, 21 tahun, telah mengunjungi Stadium Thunderdome di Nonthaburi, Thailand, untuk menyaksikan pertembungan Sailors dengan Muangthong United bagi untuk perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2.
“Setiap kali cucu saya memberitahu saya bahawa kami akan pergi menonton perlawanan bola sepak, saya berasa sangat gembira dan menantikannya,” kata ‘Auntie Ng’ dalam bahasa Teochew.
Walaupun beliau mampu menyebut nama-nama bekas pemain Singapura seperti Fandi Ahmad dan Quah Kim Song, ‘Auntie Ng’ sebelum ini hanya menonton bola sepak di televisyen dan tidak mempunyai minat khusus terhadapnya.
Namun, itu semua berubah apabila cucu-cucunya mula membawanya ke satu perlawanan Sailors.
Kedua-dua cucu itu merupakan penyokong bola sepak tempatan sejak 2012 dan peminat setia Sailors sejak 2018, ketika kelab itu masih dikenali sebagai Home United sebelum ia diswastakan dan ditukar namanya pada 2020.
Semasa kecil, kededua cucu ‘Auntie Ng’ banyak menghabiskan masa bersiar-siar bersama nenek dan mendiang datuk mereka.
Apabila mereka semakin dewasa dan sibuk dengan komitmen sekolah, mereka cuba mencari jalan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama ‘Auntie Ng’,
Maka itu, tercetuslah rancangan untuk membawa nenek kesayangan mereka itu untuk menyaksikan perlawanan bola sepak setiap kali pasukan Sailors beraksi.
Walaupun wabak Covid-19 pada mulanya menunda rancangan mereka, akhirnya pada 2023, mereka berjaya membawa ‘Auntie Ng’ ke satu perlawanan, dengan harapan ia akan menjadi pengalaman sekali dalam seumur hidup untuk nenek mereka itu.
Namun, pengalaman pertama ‘Auntie Ng’ menyaksikan perlawanan bola sepak di depan mata ternyata pengalaman yang sangat disukainya dan beliau meminta kededua cucu membawanya ke perlawanan seterusnya.
Kini, ia menjadi satu tradisi keluarga.
‘Auntie Ng’ berkata: “Sejak mereka kecil, saya dan suami menjaga mereka dan sekarang, apabila mereka sudah dewasa, saya sangat terharu kerana mereka mahu meluangkan masa bersama saya dan membawa saya keluar.
“Setiap kali kami pergi menyaksikan perlawanan Sailors, kami menaiki MRT bersama, dapat makan bersama dan berseronok.
“Saya juga dapat bertemu dengan ramai penyokong lain yang kini menjadi rakan saya.”
Semasa perlawanan, ‘Auntie Ng’ duduk dalam kalangan penyokong Sailors, bertepuk tangan dan bersorak bersama mereka sambil bernyanyi dan memukul gendang.
Encik Quek Han Yew berkata: “Walaupun beliau tidak tahu liriknya, beliau akan meniru apa yang kami berdua lakukan.
Setiap kali beliau berada di stadium, beliau akan tersenyum dan kelihatan nenek sangat gembira berada di situ.”
Memandangkan kededua cucu sedang menjalani perkhidmatan negara, menyaksikan perlawanan hujung minggu di stadium menjadi lebih istimewa.
Semangat positif ‘Auntie Ng’ telah membuat beliau disayangi penyokong Sailors yang lain.
Cik Charmaine Yeow, 22, salah seorang ahli The Crew, kelab peminat rasmi Sailors, berkata:
“Beliau seorang yang sangat ceria. Walau apapun keputusan perlawanan beliau akan tetap menceriakan suasana.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg