Laluan untuk pemain bola sepak Cardiff City, pasukan Championship England (divisyen kedua liga England), Perry Ng, menyarung jersi Singa pada masa depan kini lebih ketara.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Chew Chun-Liang, mengesahkan pada 6 Februari bahawa pemain pertahanan berbakat itu kini dalam proses memohon kewarganegaraan Singapura melalui Skim Bakat Sukan Asing (FST).
Dalam satu taklimat media di Stadium Jalan Besar, Chew menjelaskan bahawa FAS menyokong permohonan Ng dan sedang menunggu keputusan pihak berkuasa.
“Langkah pertama adalah untuk memastikan beliau memperoleh status pemastautin tetap (PR) terlebih dahulu sebelum memohon kewarganegaraan, yang akan membolehkannya mewakili Singapura,” jelas beliau.
“FAS sedang meneroka peluang untuk pertimbangkan Perry Ng mengikut skim FST, bersama agensi-agensi yang relevan,” kata FAS dalam satu kenyataan.
Jika berjaya, Ng akan menjadi pemain bola sepak pertama yang memperoleh kewarganegaraan Singapura di bawah FST sejak Qiu Li yang lahir di China pada 2010.
Pemain bola sepak lain yang telah memperoleh kewarganegaraan melalui skim ini termasuk Agu Casmir, Mustafic Fahrudin, dan Shi Jiayi.
Pemain tengah kelahiran Korea Selatan, Song Ui-young dan pemain tengah kelahiran Jepun, Kyoga Nakamura, mendapatkan kewarganegaraan pada (Song) 2021 dan (Kyoga) 2024, tetapi bukan melalui skim FST.
Baru-baru ini, Song Ui-young dari Lion City Sailors dan Kyoga Nakamura dari BG Tampines Rovers telah mendapat kad pengenalan merah jambu Singapura selepas memenuhi syarat kediaman lima tahun FIFA.
Ng, 28, layak mewakili Singapura mengikut peraturan FIFA kerana datuk sebelah bapanya, James, yang lahir di Singapura tetapi berpindah ke Liverpool.
Beliau mencuri perhatian Singapura dan England September lalu semasa beliau mengambil bahagian dalam kem latihan Singa untuk latihan suai kenal semasa rehat antarabangsa dan mengesahkan kepada media tempatan bahawa beliau akan memohon kerakyatan Singapura.
Ng bukan sekadar sebahagian pasukan Cardiff, tetapi beliau telah dianugerahkan oleh kelabnya sebagai pemain terbaik pasukan tersebut buat dua tahun berturut-turut.
Chew menyatakan bahawa Ng “amat rapat” dengan Singapura dan menjangkakan pemain berusia 28 tahun itu akan kembali berlatih bersama pasukan Singa semasa tempoh rehat antarabangsa FIFA pada March, Jun, September, Oktober dan November.
“Setiap peluang yang ada untuk membawa Perry kembali ke Singapura, kami akan bawanya pulang,” kata Chew.
“Dan setiap peluang yang beliau katakan boleh kembali ke Singapura, beliau akan kembali.”
Ng juga telah menyuarakan hasratnya untuk bermain untuk Singapura dan kerap kembali ke Singapura untuk melawat saudara-maranya.
Walaupun Chew menegaskan bahawa menjadikan warga asing rakyat Singapura bukanlah “pilihan utama” untuk menambah tampungan pemain nasional, beliau juga menyatakan bahawa pihak berkuasa bola sepak akan melakukannya apabila peluang yang sesuai timbul.
Dan suntikan kualiti pemain ‘warga baru’ adalah ketara.
Dalam kempen Piala AFF Mitsubishi Electric tahun lalu, pemain naturalisasi terbaru, Kyoga merupakan antara pemain utamanya Singapura di mana pasukan kami hanya disingkirkan oleh bakal juara pertandingan tersebut, Vietnam, di peringkat separuh akhir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg