MIAMI (Amerika Syarikat): Neymar berkata gabungan semula dengan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi dan Luis Suarez, di Inter Miami adalah satu prospek menarik dan penyerang Brazil itu tidak menolak perpindahan ke Amerika Syarikat apabila kontraknya bersama Al-Hilal berakhir.
Gabungan tiga pemain itu membentuk satu gandingan yang membawa Barcelona meraih treble bersejarah, sebelum perpindahan Neymar pada bayaran rekod 222 juta euro ($313.6 juta) ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017.
“Bermain semula dengan Messi dan Suarez merupakan sesuatu yang luar biasa. Mereka adalah rakan saya, kami masih berhubungan antara satu sama lain.
“Adalah sangat menarik jika trio itu dihidupkan semula. Saya bahagia di Al-Hilal, saya bahagia di Arab Saudi, tetapi siapa tahu? (Dunia) bola sepak penuh dengan kejutan,” kata pemain berusia 32 tahun itu.
Neymar hanya bermain tujuh kali untuk Al-Hilal sejak berpindah daripada PSG, pada bayaran yang dilaporkan sebanyak 90 juta euro pada 2023.
Kecederaan menyebabkan pemain Brazil itu tidak diturunkan bagi satu tempoh yang panjang, dengan kontraknya bakal tamat pada Jun.
Neymar menjaringkan 118 gol untuk PSG sepanjang enam musim bersama kelab itu.
Namun, di sebalik kejayaan besar dalam liga domestik, beliau gagal memenangi Liga Juara-Juara sekali lagi bersama kelab gergasi Perancis itu sebelum berpindah ke Liga Pro Saudi.
“Apabila dilaporkan bahawa saya akan meninggalkan PSG, jendela perpindahan telah ditutup di Amerika Syarikat, jadi saya tidak mempunyai pilihan itu (pindah ke Miami pada 2023).
“Projek yang mereka tawarkan kepada saya (di Arab Saudi) sangat baik, bukan hanya untuk saya, bahkan untuk keluarga saya, jadi berpindah ke Arab Saudi adalah satu pilihan terbaik (waktu itu),” tambah Neymar, yang merupakan penjaring gol terbanyak Brazil, dengan 79 gol.
Neymar juga berkata kepada media bahawa beliau akan menyertai Piala Dunia untuk kali terakhir pada 2026, apabila kejohanan itu diadakan di Amerika, Canada dan Mexico.
Dengan baki enam pusingan dalam kelayakan Amerika Selatan, dengan enam pasukan teratas layak secara automatik, pasukan kebangsaan Brazil sekarang berada di tempat kelima dalam kedudukan.
“Saya akan cuba, saya mahu berada di sana. Saya akan melakukan apa yang saya mampu untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan,” katanya.
Beliau tidak bermain sejak patah ligamen anterior cruciate (ACL, iaitu ligamen pada sendi lutut) dan meniskus di lutut kirinya semasa perlawanan kelayakan pada Oktober 2023.
“Saya tahu ini Piala Dunia terakhir saya, usaha dan peluang terakhir saya, dan saya akan melakukan segala yang saya mampu untuk bermain (dalam pertandingan itu).” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg