PHILADELPHIA: Selepas Brazil menewaskan Haiti 3-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan C pada 19 Jun, pengurus skuad tersebut, Carlo Ancelotti, berkata beliau menjangkakan Neymar akan bersedia untuk beraksi dalam final peringkat kumpulan menentang Scotland pada 24 Jun.

Neymar, 34 tahun, sebelum ini dilaporkan sedang pulih daripada kecederaan betis. 

Kali terakhir Neymar beraksi ialah dalam saingan liga utama Brazil pada 17 Mei, bagi kelab Santos.

“Neymar akan menjalani latihan secara sendiri, dan pada 22 Jun, beliau akan berlatih bersama anggota pasukan lain,” kata Ancelotti dalam sidang media selepas perlawanan.

“Beliau akan bersedia untuk perlawanan menentang Scotland.”

Masalah kecederaan mengehadkan penampilan Neymar sepanjang kempen kelayakan Brazil bagi Piala Dunia 2026.

Namun, beliau tetap menunjukkan prestasi hebat setiap kali turun padang – dengan menjaringkan dua gol dan menyumbang tiga hantaran gol dalam empat penampilan.

Sementara itu, Ancelotti tidak memberi jaminan sama ada beliau akan terus meletakkan Matheus Cunha di posisi penyerang tengah, meskipun pemain itu berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dalam aksi menentang Haiti.

Dalam perlawanan 19 Jun, Cunha diturunkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Igor Thiago, meskipun beliau hanya dimasukkan pada minit ke-61 ketika Brazil seri 1-1 menentang Maghribi dalam aksi pembukaan Piala Dunia mereka pada 13 Jun.

Ketika Ancelotti ditanya sama ada Cunha akan terus diletakkan di posisi penyerang tengah, pengurus asal Italy tersebut memberi bayangan ia satu kemungkinan. 

“Saya rasa posisi Matheus (Cunha) amat baik untuk memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan,” kata Ancelotti.

“Beliau juga melakukan hantaran tepat dengan sangat baik, dan beliau berada di posisi yang bagus untuk (bermain secara) berkesan di barisan serangan.”

“Ia boleh dipertimbangkan. Kami sudah membincangkan perkara ini. Saya tidak mahu corak permainan yang terlalu ketara. Mungkin kami akan mengubahnya pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Brazil, yang telah mengumpul empat mata, mendahului Maghribi menerusi perbezaan gol selepas skuad Atlas Lions itu menewaskan Scotland 1-0 pada 19 Jun, sekali gus menyaksikan Scotland kekal dengan tiga mata.

Skuad Scotland mungkin berdepan cabaran hebat dan perlu berjuang habis-habisan demi mengelak daripada tersingkir dalam aksi 24 Jun di Miami, namun Ancelotti menegaskan beliau lebih tertumpu kepada perkara lebih besar.

“Kami tidak berfikir tentang menyingkirkan (Scotland). Apa yang kami fikirkan adalah untuk bermain dengan baik serta meningkatkan prestasi, dan kami akan menilai perlawanan tersebut,” kata Ancelotti.

“Jika kami berjaya meraih kedudukan teratas kumpulan, ia amat penting untuk fasa seterusnya.

“Oleh itu, kami mahu melakukan persiapan yang rapi bagi menghadapi perlawanan tersebut,” katanya. – Reuters.