RIO DE JANEIRO: Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, tidak memanggil semula Neymar dan telah merehatkan Vinicius Junior bagi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chile dan Bolivia pada September.
Lucas Paqueta pula kembali menyertai skuad kebangsaan tersebut.
Neymar, 33 tahun, yang kembali ke kelab Brazil, Santos, pada Januari, sudah hampir dua tahun tidak menyarung jersi Brazil akibat kecederaan berulang.
“Neymar mengalami sedikit masalah pada minggu lalu,” kata Ancelotti dalam satu sidang media pada 25 Ogos, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu.
Menurut akhbar Brazil, penjaring terbanyak sepanjang masa negara itu dengan 79 gol dalam 128 perlawanan, mengalami rasa tidak selesa pada pahanya semasa sesi latihan.
Bagaimanapun, ketiadaan beliau dalam skuad bagi kededua perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia tersebut tidak menjadi kebimbangan besar bagi Ancelotti.
Ini memandangkan pasukan juara lima kali itu sudah pun mendapat tempat ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.
“Kami tidak perlu menguji Neymar. Semua orang sudah mengenalinya. Seperti pemain lain, beliau mesti berada dalam keadaan fizikal yang baik untuk membantu pasukan kebangsaan memberikan yang terbaik di Piala Dunia,” tambah jurulatih dari Italy itu.
Neymar sebelum ini dipanggil menyertai skuad tersebut oleh Dorival Junior, jurulatih Brazil sebelum Ancelotti, bagi perlawanan pada Mac, dengan pasukan itu menang 2-1 menentang Colombia dan tewas 1-4 menentang Argentina.
Namun, beliau terpaksa menarik diri kerana kecederaan paha.
Dalam dua perlawanan pertama di bawah bimbingan Ancelotti pada Jun, Brazil seri 0-0 menentang Ecuador sebelum menewaskan Paraguay 1-0, hasil jaringan Vinicius, yang membolehkan pasukan itu menempah tempat ke Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, penyerang Real Madrid itu tidak akan menyertai kem latihan akan datang.
Setelah digantung bagi perlawanan menentang Chile pada 5 September di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, pihak pengurusan Brazil memilih untuk tidak membawa Vinicius bagi perlawanan di kawasan altitud tinggi di Bolivia pada 9 September.
Dalam pada itu, Paqueta kembali beraksi selepas bebas daripada tuduhan bertaruh oleh sebuah suruhanjaya bebas Liga Perdana England (EPL) pada Julai. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg