LONDON: Pemain antarabangsa Perancis dan tunggak midfield Chelsea, N’Golo Kante, bersetuju mendantangani kontrak bersama juara liga Arab Saudi, Al-Ittihad.
Kontrak beliau bersama Chelsea akan tamat pada penghujung Jun.
Pemain berusia 32 tahun itu melalui musim mencabar dek kecederaan dan hanya membuat sembilan penampilan untuk Chelsea bagi kempen 2022/23.
Beliau akan menyertai rakan senegara, Karim Benzema, selepas penyerang itu meninggalkan Real Madrid dan menandatangani kontrak tiga tahun bulan ini.
Pemindahan tersebut menamatkan era yang penuh kejayaan dalam liga England bagi Kante.
Pada musim Liga Perdana England (EPL) 2015/16, beliau membantu Leicester City merangkul kejuaraan sebelum berpindah ke Chelsea.
Di Chelsea pula, beliau telah memenangi Liga Juara-juara, EPL, Liga Eropah dan Piala FA.
Beliau pernah dinamakan sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak dan Pemain Terbaik Persatuan Bola Sepak bagi musim 2016/17.
Kante juga memainkan peranan penting tatkala Perancis menggondol Piala Dunia pada 2018.
Pengarah bersama kesukanan Chelsea, Laurence Stewart dan Paul Winstanley, berkata: “Kesan dan pengaruh N’Golo semasa beliau bermain di Chelsea tidak boleh disangsikan.
“Prestasi tanpa lelah beliau di bahagian midfield telah menyumbang kepada beberapa kemenangan trofi dan telah menjamin tempatnya dalam sejarah kelab.
“Kami ucapkan selamat maju jaya kepadanya semasa beliau memulakan langkah seterusnya dalam kerjayanya.”
Dilaporkan bahawa Kante telah menandatangani kontrak tiga tahun bernilai 86 juta paun ($146.8 juta).
Beberapa pemain berprofil tinggi turut dikaitkan dengan pemindahan ke liga Saudi.
Baru-baru ini, kapten kelab EPL Wolves dijangka menyertai Al-Hilal dengan kontrak bernilai 47 juta paun.
Penyerang Tottenham Hotspur Son Heung-min turut menyangkal desas-desus beliau akan berpindah ke Arab Saudi, manakala bintang Argentina Lionel Messi menyertai Inter Miami setelah menolak tawaran lebih lumayan daripada sebuah kelab liga Saudi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg