BG Tampines Rovers menunjukkan mengapa mereka menjadi pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) musim 2025/2026 apabila meneruskan rentak permulaan cemerlang dengan menewaskan DH Cebu FC dari Filipina 3-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejohanan Kelab Asean (ACC) pada 20 Ogos.
Kejayaan itu menyusuli kemenangan 4-1 mereka ke atas Lion City Sailors dalam Piala Perisai Masyarakat pada 16 Ogos.
Selepas dua kemenangan berturut-turut, Ketua Jurulatih The Stags, Akbar Nawas, yakin momentum ini akan berterusan dalam perlawanan pembukaan SPL menentang Geylang International pada 24 Ogos.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Akbar berkata walaupun anak didiknya menghadapi dua perlawanan mencabar, pasukannya telah melakukan pertukaran pemain mengikut giliran dengan baik, sekali gus mengekalkan kecergasan pemain.
“Kecergasan para pemain berada pada tahap yang baik, dan kami telah melakukan pertukaran pemain apabila perlu untuk memastikan mereka kekal segar.
“Kini, tumpuan sepenuhnya kepada Geylang dan kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang mencabar, tetapi kami sudah bersedia,” kongsi beliau.
Kejohanan ACC atau dikenali sebagai Piala Shopee membuka tirainya pada 20 Ogos, dengan 12 pasukan serantau bertanding merebut gelaran itu.
Tampines ditempatkan di Kumpulan A bersama dua pasukan Thailand, juara bertahan Piala Shopee, Buriram United FC; dan BG Pathum FC; Selangor FC dari Malaysia; Cong An Ha Noi dari Vietnam; dan DH Cebu FC dari Filipina.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Akbar berkata beliau gembira dengan kemenangan dan prestasi anak didiknya di Stadium Rizal Memorial, Manila, Filipina, di mana mereka menunjukkan disiplin yang baik di atas padang.
“Mereka melaksanakan perancangan dengan baik dan menunjukkan kemampuan pada saat-saat penting.
“Memulakan Piala Shopee dengan kemenangan adalah penting, bukan sahaja untuk mengutip mata, bahkan bagi membina momentum dan keyakinan,” katanya.
Tampines memulakan perlawanan dengan cemerlang selepas menjaringkan dua gol pada 20 minit pertama permainan melalui Hide Higashikawa dan Dylan Fox.
Hantaran jauh pemain pertahanan, Shuya Yamashita, pada minit kedua berjaya mendapatkan Taufik Suparno, dan walaupun rembatan beliau diselamatkan penjaga gawang Cebu, Rami Jeridi, Higashikawa pantas menyambar bola muntah untuk jaringan pertama pada minit kedua.
Fox menambah gol kedua pada minit ke-19 apabila pemain Australia itu melompat paling tinggi untuk menanduk masuk hasil sepakan penjuru Joel Chew.
Cebu berjaya mengurangkan jurang jaringan apabila sepakan penjuru, Esrom Paulos, pada minit ke-21 menemui penyerang Senegal, Abou Sy, yang menanduk kencang jaringan bagi pasukan tuan rumah.
Namun, pemain gantian Tampines, Trent Buhagiar, memastikan kemenangan selesa pasukannya tujuh minit dalam masa tambahan melalui kesudahan klinikal.
Melalui serangan balas pantas, Buhagiar, berlari meninggalkan pemain pertahanan Cebu sebelum melepaskan rembatan mengatasi Jeridi dengan tenang.
Di perlawanan Kumpulan A yang lain, Buriram United FC berjaya menyelamatkan satu mata apabila jaringan lewat Peter Zulj memastikan keputusan seri 1-1 menentang Selangor yang telah mendahului melalui jaringan penyerang Brazil, Chrigor, pada minit ke-38, di Stadium Buriram.
BG Pathum pula bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan naib juara ACC 2024/25, Cong An Ha Noi, 2-1 di Bangkok.
Bintang BG Pathum, Chanathip Songkrasin, menjadi penyelamat apabila beliau masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol bagi pasukannya yang beraksi dengan 10 pemain apabila Matheus Fornazari dilayangkan kad merah sejurus sebelum separuh masa pertama berakhir.
Penyerang Cong An Ha Noi, Alan Grafite, membuka tirai jaringan pada minit ke-20, sebelum Chanatip menyamakan kedudukan dengan rembatan cantik pada minit ke-58.
Beliau kemudian menjaringkan gol kemenangan cantik melalui lob yang melepasi penjaga gol, Filip Nguyen, pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan bagi pasukan tuan rumah.
Keputusan itu bermakna Tampines mendahului Kumpulan A dengan perbezaan dua gol dan tiga mata, mendahului BG Pathum yang turut mempunyai tiga mata.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg